
KOTA KINABALU – Media sosial dijangka memainkan peranan paling dominan dalam membentuk komunikasi politik dan pandangan pengundi sepanjang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, kata bekas Ketua Editor New Sabah Times, Ch’ng Boon Heng.
Beliau berkata, walaupun ceramah fizikal dan kunjungan ke kampung-kampung masih dilakukan, namun calon dan parti kini lebih cenderung menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan mesej dan mendekati pengundi.
“Media sosial memberikan ruang komunikasi dua hala yang pantas dan luas, sekali gus menjadikannya alat paling berkesan untuk meraih sokongan,” katanya.

Ch’ng berpandangan bahawa media tradisional masih mempunyai tempat, namun kadar penyebaran maklumat yang perlahan menjadikannya kurang efektif dalam persaingan politik masa ini.
“Dalam zaman sekarang, kita sangat bergantung kepada media sosial sebagai sumber maklumat utama.
“Namun masyarakat perlu diingatkan agar tidak mudah menyebarkan apa yang mereka lihat atau dengar tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihan maklumat,” katanya sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di sini pada Khamis.
Beliau turut memberi amaran tentang ancaman penyebaran berita palsu dan maklumat yang mengelirukan, khususnya menjelang tempoh pilihan raya.
Menurut Ch’ng, media sosial bukan sahaja membentuk trend komunikasi moden, malah menjadi sebahagian penting dalam kehidupan seharian rakyat, termasuk dalam membina atau meruntuhkan persepsi terhadap calon dan parti.
“Ia telah mengubah sepenuhnya cara kita berkomunikasi dan berkongsi pendapat.
“Tidak syak lagi, ia kini merupakan elemen penting dalam menentukan arus sokongan politik,” katanya.



