PUTRAJAYA – Sebanyak 159,518 kandungan berunsur bahaya yang melibatkan perjudian dalam talian, penipuan, buli siber dan berita palsu telah dipadam oleh platform media sosial Facebook, TikTok dan YouTube sehingga semalam, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 51 peratus merupakan kandungan berkaitan perjudian dalam talian, diikuti 25 peratus berkaitan penipuan, 12 peratus buli siber, dan sembilan peratus berita palsu.
“Ketiga-tiga platform ini, Facebook, TikTok dan YouTube, merangkumi hampir 95 peratus daripada jumlah kandungan bermasalah yang dikenal pasti di media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi di sini pada Khamis.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Daripada jumlah keseluruhan kandungan yang dipadam, 57 peratus melibatkan platform Facebook, 28 peratus TikTok, dan 13 peratus YouTube.
Jumlah kandungan yang telah dipadam itu adalah sebahagian daripada 174,473 permohonan penghapusan kandungan yang telah dikemukakan sepanjang tahun ini, dengan hampir 160,000 daripadanya telah diambil tindakan.
Walau bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap kandungan eksploitasi kanak-kanak yang masih wujud dalam talian, terutamanya di platform Facebook.
“Saya tertanya-tanya sama ada undang-undang sedia ada dan tahap kerjasama yang ada sekarang mencukupi, atau kita perlu pendekatan yang lebih strategik dan berkesan untuk menangani isu ini.
“Seperti yang diketahui, pada penghujung tahun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melancarkan Op Pedo Bersepadu,” jelas beliau.
Mengulas berkenaan pelaksanaan pelesenan platform media sosial oleh kerajaan yang diperkenalkan awal tahun ini, beliau menjelaskan bahawa langkah tersebut bertujuan untuk memastikan platform menjadi lebih selamat, khususnya untuk golongan kanak-kanak.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 yang diluluskan di Parlimen pada Disember lalu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan kini dalam proses penguatkuasaan.
“Untuk makluman semua, satu akta baharu, OnSA telah diluluskan oleh Parlimen, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan kini sedang melalui proses penguatkuasaan,” katanya.
Akta OnSA ini memberi kuasa kepada MCMC untuk mengambil tindakan terhadap platform media sosial yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan pengguna.




