
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang pengguna aplikasi TikTok yang disyaki memuat naik dua kandungan berunsur palsu dan jelik melampau melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam kenyataan, MCMC bekata, kandungan berkenaan dipercayai dimuat naik sebagai reaksi terhadap isu berkaitan pesta tidak bermoral yang berlaku dalam negara, serta kenyataan rasmi Perdana Menteri mengenai pemberian insentif penghargaan kepada rakyat.
Selain itu, dalam satu lagi hantaran, individu terbabit turut disyaki membuat tuduhan bersifat palsu dan jelik melampau berkaitan lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara.
Bagi membantu siasatan, MCMC telah merakam keterangan individu tersebut di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya pada Isnin, 21 Julai 2025.
Turut disita ialah satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM bagi tujuan siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
MCMC berkata, pihaknya memandang serius penyebaran kandungan yang boleh mencetuskan kebimbangan awam serta menjejaskan reputasi pemimpin negara.
“MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan platform media sosial bagi tujuan menyebarkan kandungan jelik, palsu dan tidak berasas, khususnya yang menyentuh kepimpinan tertinggi negara.
“Tindakan tegas akan terus diambil demi memastikan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, MCMC turut mengingatkan orang ramai agar menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan beretika, serta tidak menyalahgunakannya untuk menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau berunsur fitnah.
“MCMC menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform media sosial untuk penyebaran kandungan jelik melampau atau tuduhan tidak berasas, serta akan terus mengambil tindakan tegas demi memelihara ketenteraman awam dan keharmonian negara,” ujarnya.


