PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meminta penjelasan rasmi daripada TikTok susulan dakwaan platform itu digunakan untuk merekrut individu bagi aktiviti penyeludupan dadah ke luar negara.
MCMC berkata, penjelasan yang dimahukan berkait mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan dalaman TikTok terhadap kandungan atau iklan yang disyaki digunakan bagi tujuan jenayah, termasuk tawaran kerja palsu yang berpotensi memperdaya pengguna.
“Sebarang penyalahgunaan platform dalam talian untuk merekrut atau memperdaya pengguna bagi kegiatan jenayah melalui penyebaran kandungan palsu adalah satu kesalahan serius mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
“Selain itu, Seksyen 263(1) memperuntukkan bahawa setiap pemegang lesen bertanggungjawab mengambil langkah terbaik bagi memastikan rangkaian atau perkhidmatan di bawah kawalannya tidak digunakan untuk tujuan menyalahi undang-undang Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Media see ini melaporkan satu sindiket dipercayai memperdaya beberapa individu untuk menyeludup dadah jenis ganja seberat 68 kilogram bernilai hampir RM8.3 juta ke Manchester, United Kingdom melalui tawaran kerja diiklankan di TikTok.
Bagaimanapun, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan itu.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, cubaan tersebut dilakukan dua pasangan lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an dari Johor, selepas bagasi milik seorang daripada mereka diimbas semula oleh pihak syarikat penerbangan apabila pasangan itu tidak dibenarkan menaiki pesawat.
Justeru, MCMC turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran kerja mudah di media sosial, terutamanya yang melibatkan penghantaran barangan atau bagasi ke luar negara.







