
BINTULU – Dalam usaha memupuk kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar, Maxim e-hailing mengadakan program khas bersempena Hari Malaysia di seluruh negara termasuk di Bintulu.
Difahamkan lebih 300 peserta terlibat dalam program yang berlangsung pada 21 September 2024 di Balai Raya Kampung Assyakirin Fasa 1.
Acara bermula pada 7 pagi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti senamrobik, permainan papan ular untuk kanak-kanak, pertandingan mewarna, dan cabutan bertuah.
Menurut Ketua Pembangunan Maxim Sarawak Ahmad Shabrie, beliau menekankan kepentingan program ini dalam menjaga alam sekitar dan memperbaiki infrastruktur bandar.
“Program seperti ini tidak hanya memperkukuhkan hubungan antara Maxim dengan pengguna, tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat setempat,” katanya.
Sementara itu, wakil dari Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Ritchie Mensing Grasing memuji kerjasama antara Maxim dengan BDA yang terjalin sejak perkhidmatan e-hailing ini mula beroperasi di Bintulu.
“Saya mengucapkan terima kasih atas sumbangan alat pembersihan dan berharap usaha ini akan diteruskan demi kelestarian bandar,” ujar Ritchie.
Program ini turut disokong oleh syarikat tempatan seperti Pasaran Mini Jimat Tayar (TSMM), TP Digital Photo & Wooden Frame Centre, dan MDS Trading Bintulu yang menyumbangkan hadiah serta turut hadir memeriahkan majlis.







