KLUANG – Bangsa Johor menolak keras sebarang unsur yang mempunyai agenda politik di masjid dan surau.
Pengerusi Masjid Al Ikram Taman Sri Kluang Alauddin Salleh berkata, masjid dan surau bukan tempat memecahbelahkan umat Islam, sebaliknya ia berfungsi mengeratkan lagi ukhwah dengan pelbagai aktiviti keagamaan yang menjurus ke arah perpaduan ummah.

“Kita (masjid) memang tak benarkan apa apa dakyah politik, lagi pun Johor memang ketat penguatkuasaannya selaras dengan titah tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.
“Memang tiada unsur-unsur politik dalam kuliah, tazkirah juga gambar atau video pemimpin politik pada khutbah, memang kita pun tidak mahu sebab masjid ni peranannya adalah untuk mengeratkan ukhwah, harmoni serta mengelakkan umat Islam berpecah belah.
“Kita di sini melayan sama rata siapa yang datang ke masjid ini, tak kisah dari parti mana asalkan saja jangan guna masjid ini untuk tujuan politik sebab saya memang tak mahu masyarakat, kariah di sini bermasam muka, syak wasangka dan berpecah belah,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat, di Masjid Al Ikram, Taman Sri Kluang, hari ini.
Minggu lalu, video khutbah Jumaat di Melaka menjadi kontroversi susulan terpampang wajah seorang ketua parti pembangkang yang menyebabkan tercetus kekeliruan dan prejudis masyarakat terhadap profesionalisme serta kewibawaan institusi agama yang seharusnya menjadi pusat penyatupaduan ummah.
Bagi Mohd Mukhri Taib, 76, berkata, kariah di masjid ini sangat menjaga segala aktiviti-aktiviti keagamaan agar bebas daripada unsur dakyah politik.

“Tak perlu campur aduk politik dan agama terutama dalam masjid. Politik ialah politik, agama adalah agama. Masjid bukan tempat menghasut umat Islam untuk menyokong sesuatu parti politik.
“Dekat sini, memang kita tak benarkan, kalau ada orang lain berceramah yang tak betul memang kita (masjid) akan larang dan suruh berhenti, kita bangsa Johor memang tak suka berpolitik di masjid,” katanya.



