
MUAR – Kerajaan Persekutuan tidak akan sekali-kali meminggirkan kebajikan masyarakat India di negeri termasuklah isu berkaitan adat dan keagamaan.
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri, M Shanmugam berkata, dalam siri jelajah beliau ke beberapa buah rumah ibadat di sekitar Johor, segala permasalahan dan kekurangan dialami di kuil-kuil terlibat terus diberikan perhatian.
“Dalam lawatan saya selama dua hari ke enam buah kuil di Johor, kami mengambil maklum segala masalah yang diadukan penduduk setempat. Antara isu yang banyak dihadapi adalah berkaitan pemilikan tanah hingga menyebabkan bantuan daripada kerajaan tidak dapat diasalurkan ekoran status tanah berkenaan.
“Justeru, kita harap penduduk terlibat memberikan masa dan ruang untuk saya meneliti semula keperluan dan permintaan mereka untuk rumah ibadat masing-ibadat sebelum ianya diserahkan kepada kementerian atau jabatan terlibat.
“Anggaran nilai yang diperuntukkan bagi kesemua kuil di Johor adalah sekitar RM1 juta, tapi saya buat semakan lanjut melalui dokumen-dokumen yang telah diserahkan dan semak balik adakah bantuan diperlukakn sesuai dan sebagainya,” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press ketika mengadakan lawatan di Kuil Sri Maha Mariamman di sini, semalam.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru semua komuniti India untuk sentiasa cakna dan mengambil tahu bentuk-bentuk bantuan yang disediakan pihak kerajaan kepada kaum berkenaan.
“Ada sebahagian yang tak tahu bantuan disediakan, malah terdapat juga penduduk menghadapi masalah untuk melengkapkan borang yang diminta. Ini memgakibatkan beberapa permohonan mereka ditolak sebelum ini.
“Namun, mereka tak tahu alasannya dan menganggap ia ditolak kerana permintaan itu tak bersesuaian atau tiada bantuan disediakan. Mereka silap.
“Justeru, kita menyeru masyarakat India supaya sentiasa mengambil tahu apa jua inisiatif yang diumumkan. Jika kurang faham, cari dahulu ketua masyarakat dan rujuk mereka apakah keperluan yang dikehendaki. Kami di peringkat Pejabat Perdana Menteri tetap berbsedia membantu komuniti ini agar tidak terpinggir dalam pelbagai bantuan,” katanya.
Shanmugam berkata, lawatan santai seumpama itu akan diteruskan dalam usaha memahami pelbagai isu dialami komuniti India di kawasan setempat.
“Mereka gembira apabila pertama kali ada wakil dari Pejabat Perdana Menteri turun bertemu mereka dan datang membuat lawatan bagi melihat sendiri permasalahan yang berlaku.
“Dalam masa sama, kami juga berbesar hati untuk membantu dan mendengar sendiri keluhan mereka. Kami turut ambil kesempatan ini menjelaskan kepada mereka tindakan-tindakan sesuai serta pergi ke saluran tepat kerana ada isu-isu dihadapi berada di bawah selian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.





