KUANTAN – Suspek kes bunuh peniaga makanan, Norshamira Zainal, 37, telah menggadaikan gelang emas milik mangsa di sebuah kedai pajak gadai di Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati motif utama pembunuhan adalah samun dan suspek mengambil barang kemas mangsa sebelum melarikan diri.
Wan Mohd Zahari memaklumkan, beliau juga tidak menolak kemungkinan gelang digadai suspek bernilai sekitar RM30,000.
“Kita turut merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen bagi membantu siasatan.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar barang kemas yang telah digadai,” katanya lapor Sinar Harian.
Menurut beliau, proses merakam keterangan daripada suspek dan beberapa saksi utama dimulakan hari ini.
“Semalam suspek direman dan hari ini kita akan memulakan proses siasatan lanjut.
“Selepas semua prosedur selesai, kenyataan terperinci mengenai kes ini akan diumumkan,” katanya.
Wan Mohd Zahari menambah, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat hentakan benda tumpul pada bahagian kepala selain disyaki lemas.
Suspek berusia 53 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu, Gong Badak, Kuala Terengganu, kira-kira jam 5.30 pagi semalam.
Majistret Nor Izzati Zakaria membenarkan permohonan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 21 Februari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.







