
SANDAKAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan merekodkan sebanyak 67 tangkapan di perairan negara sepanjang tahun 2024 dengan rampasan sebanyak RM90.32 juta.
Menurut Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, rekod itu membabitkan 136 individu ditahan dan 26 orang didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan
Katanya, sepanjang tahun ini sebanyak 23,705 pemeriksaan vesel dilaksanakan dan hampir 52,151 individu diperiksa dalam usaha mempertingkatkan keselamatan dan menguatkuasakan undang-undang negara di laut.
“Saya ingin menegaskan komitmen Maritim Malaysia dalam menangani jenayah di laut.
“Seterusnya melaksanakan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang negara serta memainkan peranan penting dalam menyelamatkan nyawa dan harta benda di laut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Selain itu, tambah beliau, Zon Maritim Sandakan turut giat melaksanakan kempen kesedaran keselamatan di laut bagi meningkatkan pengetahuan komuniti maritim mengenai keselamatan ketika menjalankan aktiviti di laut.
“Sebanyak 173 Taklimat Pencegahan Carilamat (Preventive SAR) telah diadakan sepanjang 2024.
“Daripada jumlah tersebut, 152 taklimat dilakukan oleh aset yang berada di laut, sementara 21 lagi diadakan di sekolah-sekolah dan pejabat Zon Maritim Sandakan.
“Taklimat ini melibatkan lebih 1,500 peserta, termasuk pelajar, persatuan, serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan,” katanya.
Suhairy turut memberitahu bahawa dari tahun 2022 hingga 2024, Zon Maritim Sandakan berjaya menyelamatkan seramai 57 orang serta harta benda bernilai RM3.21 juta.
“Pihak Zon Maritim Sandakan terus mempertingkatkan kawalan dan kesiagaan di laut untuk mengawasi kawasan seluas 9,435 km² yang meliputi 416.3 km panjang pantai dari Pulau Jambongan hingga ke Pulau Tambisan.
“Kawasan ini merangkumi perairan daerah Beluran, Sandakan dan Kinabatangan bagi memastikan keselamatan dan keamanan perairan negara untuk komuniti maritim,” jelasnya.
Suhairy turut mengingatkan komuniti maritim untuk mematuhi langkah-langkah keselamatan semasa berada di laut seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa ‘Personal Locator Beacon’ (PLB).
“Mereka juga diingatkan untuk memaklumkan destinasi kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi.
“Orang awam diminta untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi maklum balas segera,” ujarnya.