
MIRI – Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Miri menahan sebuah kapal jenis Offshore Supply kerana gagal mengemukakan pas pelepasan pelabuhan (Port Clearance) pada jarak satu batu nautika barat muara Sungai Miri, semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kapal peronda telah menahan kapal tersebut ketika rondaan di sekitar perairan Miri.
Mohd Khairol berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kapal itu dikendalikan kapten dan tujuh kru warga Indonesia dalam lingkungan umur 23 hingga 52 tahun.

“Kapal yang berdaftar di Jakarta, Indonesia itu ditahan sebelum dibawa ke tempat berlabuh, manakala kapten bersama kesemua kru dibawa ke jeti untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, kerana tiada pas pelepasan pelabuhan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Khairol berkata, Maritim Malaysia akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang dan tidak akan sesekali berkompromi ke atas pesalah yang ingkar.
“Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan NG 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri ditalian 085-418204/Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/ 082-432016 untuk tindakan segera,” katanya.