Malaysia sedia perjelas dakwaan AS berkaitan lebihan kapasiti pengeluaran, buruh paksa

KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia memberikan penjelasan kepada Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan berkaitan lebihan kapasiti pengeluaran serta penggunaan buruh paksa yang menjadi antara isu dalam siasatan di bawah Seksyen 301 negara itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, lebihan kapasiti pengeluaran tidak semestinya menunjukkan Malaysia melakukan amalan lambakan terhadap barangan yang dieksport ke pasaran AS.

“Jika Malaysia mempunyai lebihan kapasiti sekali pun, ia tidak bermakna negara melakukan lambakan terhadap produk yang dihantar ke pasaran AS.

“Kalau kita ada lebihan kapasiti sekali pun, tetapi kalau kita bukan melakukan lambakan atau ‘dumping’, kita boleh tunjukkan kos kita,” katanya lapor BH.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan AS yang memulakan siasatan terhadap dasar, tindakan dan amalan melibatkan 15 negara termasuk Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) di bawah Seksyen 301(b) Akta Perdagangan 1974 berkaitan isu lebihan kapasiti struktur dan pengeluaran dalam sektor perkilangan.

Wakil Perdagangan AS (USTR), Jamieson Greer, dalam kenyataan yang dikeluarkan di Washington pada Rabu berkata, siasatan berkenaan bertujuan menentukan sama ada dasar dan amalan terbabit dianggap tidak munasabah atau menindas serta memberi beban atau sekatan kepada perdagangan AS.

Antara negara yang terlibat dalam siasatan itu ialah China, Kesatuan Eropah (EU), Singapura, Switzerland, Norway, Indonesia, Malaysia, Kemboja, Thailand, Korea, Vietnam, Taiwan, Bangladesh, Mexico, Jepun dan India.

Terdahulu, Johari menghadiri Majlis Sembang Santai ‘Moreh dengan Yang Berhormat’ di After 6 Coffee, Kampung Baru, di sini, malam tadi.

Program anjuran Persatuan Peniaga Bundle Malaysia dengan kerjasama Majlis Belia Kawasan Titiwangsa itu turut menarik penyertaan ramai golongan belia.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, isu lambakan boleh dinilai dengan membandingkan harga jualan produk di pasaran tempatan dengan harga eksport.

“Harga yang kita jual di Malaysia dengan harga yang kita eksport boleh dibandingkan.

“Kalau harga yang kita jual di sini (di negara ini) sama dengan harga kita eksport, tidak boleh kata (anggapan) kita melakukan ‘dumping’,” katanya.

Beliau berkata, amalan lambakan lazimnya berlaku apabila sesuatu produk dijual pada harga lebih rendah di pasaran luar berbanding harga di negara asal.

“Contohnya kalau harga di Malaysia RM100 tetapi kita jual di negara lain RM80 atau RM90, itu boleh menimbulkan persepsi, kita cuba menekan pesaing di pasaran mereka,” katanya.

Mengulas dakwaan berhubung buruh paksa, Johari berkata, Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang buruh yang jelas bagi melindungi pekerja daripada sebarang bentuk eksploitasi.

“Buruh paksa ini termasuk jika menggunakan pekerja tanpa permit yang sah, atau pekerja dibayar di bawah gaji minimum yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan pekerja bawah umur juga tidak dibenarkan mengikut undang-undang negara.

“Kerajaan sudah menetapkan pelaksanaan gaji minimum. Kalau syarikat bayar di bawah kadar itu, itu tidak dibenarkan. Begitu juga jika menggunakan pekerja bawah umur,” katanya.

Menurutnya, pematuhan terhadap undang-undang buruh serta piawaian pekerjaan amat penting bagi memastikan produk keluaran Malaysia tidak dikaitkan dengan isu buruh paksa dalam perdagangan antarabangsa.

Related Posts

Kerajaan atur semula strategi pelancongan, fokus pasaran berdaya tahan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyusun semula strategi sektor pelancongan dengan memberi tumpuan kepada pasaran yang lebih berdaya tahan bagi memastikan kemasukan pelawat dan hasil negara kekal stabil susulan krisis bekalan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jangan biarkan naratif selektif tentukan masa depan negeri

DALAM landskap politik hari ini, semakin kerap kita melihat naratif yang mengaitkan agama dan institusi diraja sebagai ukuran kejayaan sesebuah kerajaan. Doa, ucapan istiadat, dan simbol kebesaran digunakan untuk membentuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan atur semula strategi pelancongan, fokus pasaran berdaya tahan

Kerajaan atur semula strategi pelancongan, fokus pasaran berdaya tahan

Kerjasama strategik pertingkat hubungan PBT dan masyarakat di Sandakan

Kerjasama strategik pertingkat hubungan PBT dan masyarakat di Sandakan

Jangan biarkan naratif selektif tentukan masa depan negeri

Jangan biarkan naratif selektif tentukan masa depan negeri

KPSTI selaras pendidikan tinggi Sabah dengan keperluan industri – James

KPSTI selaras pendidikan tinggi Sabah dengan keperluan industri – James

Malaysia perkukuh kerjasama tenaga, hadapi ketidaktentuan global – PM

Malaysia perkukuh kerjasama tenaga, hadapi ketidaktentuan global – PM

Tekanan kos meningkat susulan krisis bekalan global

Tekanan kos meningkat susulan krisis bekalan global