
KUCHING – Kerajaan MADANI telah meluluskan peruntukan sebanyak RM154 juta bagi projek tebatan banjir dan menangani isu integriti baraj (bendungan rendah) di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kelulusan tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejurus taklimat bersama kerajaan Sarawak berhubung projek berkaitan air pada petang Jumaat.
Menurut beliau, peruntukan itu diluluskan selepas kerajaan negeri membangkitkan keperluan mendesak susulan berlakunya hakisan di kawasan huluan dan hiliran baraj berkenaan.
“Bagi pihak PETRA, Ahli Parlimen, dan khususnya penduduk Kuching, saya merakamkan jutaan terima kasih atas kelulusan tersebut.
“Namun, kerajaan negeri perlu mengemukakan permohonan secepat mungkin untuk kita angkat kepada Kementerian Ekonomi dan juga Kabinet,” kata beliau.
Tambah Fadillah, mesyuarat tersebut turut memfokuskan kepada langkah mempertingkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi mempercepatkan pelaksanaan projek bekalan air, khususnya di kawasan luar bandar.
Terdahulu, beliau bersama Anwar dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir menyerikan Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 Peringkat Sarawak yang berlangsung di Masjid Jamek Negeri Sarawak pada Jumaat.
Majlis tersebut merupakan anjuran bersama PETRA, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Sarawak serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri.
Lebih 1,000 hadirin yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk ketua-ketua masyarakat setempat dan penggiat industri minyak dan gas telah memeriahkan majlis tersebut.
Dengan mengangkat tema “Islah MADANI: Memurni Jiwa, Membangun Ummah”, Sarawak menjadi destinasi ketujuh bagi siri penganjuran majlis tersebut di seluruh negara. Ia bertujuan memupuk semangat muhibah, perpaduan, dan memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum.



