LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menarik balik kenyataan akhbar yang dikeluarkan petang Rabu mengenai letupan saluran paip gas Putra Heights, Subang Jaya.
Dalam kenyataannya sebelum ini, CIDB berkata, tiada kerja pembinaan dijalankan di tapak letupan pada hari kejadian.
Agensi itu berkata, siasatan awalnya juga menunjukkan bahawa projek pembangunan, yang dikaitkan dengan letupan, sebenarnya terletak 30 meter dari lokasi letupan.
Dalam satu kenyataan awal pagi hari ini, CIDB berkata, penarikan balik kenyataan itu dibuat memandangkan siasatan masih dijalankan melibatkan pelbagai pihak berkuasa.
“CIDB ingin memohon maaf atas sebarang kekeliruan atau kebimbangan yang tercetus akibat kenyataan tersebut terutamanya kepada penduduk yang terkesan.
“Kami memahami kesulitan yang dihadapi dan berusaha memastikan perkara ini ditangani dengan penuh integriti dan ketelusan. Kami komited untuk memastikan setiap aspek kes ini diteliti secara menyeluruh dan adil,” menurut kenyataan itu.
CIDB berkata sebagai badan yang bertanggungjawab untuk pembangunan industri pembinaan negara, pihaknya berjanji untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.
“CIDB juga menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi dalam hal pematuhan piawaian keselamatan dan peraturan industri pembinaan.
“Sebarang pelanggaran atau ketidakpatuhan akan dikenakan tindakan sewajarnya, tanpa pengecualian.
“Komitmen kami adalah untuk memastikan industri pembinaan negara beroperasi mengikut piawaian tertinggi demi keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan semua pihak,” katanya.
Terdahulu, insiden letupan dan kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa itu meninggalkan kesan yang ketara dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70×80 kaki.
Kebakaran itu turut mengakibatkan api menjulang tinggi, selain menghasilkan bahang panas serta debu yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500 meter dari lokasi kejadian.







