PUTRAJAYA – Strategi pengurusan banjir di Malaysia bakal mengambil model dari Belanda menerusi kerjasama dua hala antara kedua negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata, projek perintis bagi tujuan itu sedang dirancang melalui skim Dutch Surge Support (DSS).
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, inisiatif itu diharap dapat membantu Malaysia mengurangkan dan mengawal risiko banjir di samping memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi perubahan iklim.
“Kita berterima kasih kerana kerajaan Belanda menawarkan bantuan dalam menangani bencana air menerusi skim DSS.
“Kita menghargai dan menyambut baik cadangan terkandung dalam laporan Pengurangan Risiko Bencana (DRR).
“Ketika ini, kami sedang merancang untuk melaksanakan beberapa projek perintis hasil kerjasama menerusi skim terbabit,” katanya dalam ucaptama program Dialog Air Malaysia-Belanda Ketujuh di Kuala Lumpur, hari ini.
Program itu dihadiri Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner.
Fadillah berkata, membina ketahanan air amat penting, dengan menekankan risiko perubahan iklim semakin meningkat, yang meningkatkan kejadian ekstrem seperti kemarau, banjir serta pola cuaca sukar diramal.
Beliau turut menyatakan bahawa tema dialog ‘Pathway to Resilience: Achieving Water Security Amidst Climate Change’ sangat relevan kerana menggalakkan pertukaran kepakaran, menangani cabaran dihadapi kedua-dua negara serta meneroka inisiatif kerjasama yang sedang dan akan dilaksanakan.







