
AMAT menyedihkan apabila melihat keupayaan perbahasan barisan Ahli Parlimen pembangkang berhujah mengenai Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada minggu ini.
Rata-rata Ahli Parlimen Perikatan Nasional menyajikan ketidakmatangan dalam berhujah apabila gemar menyentuh isu-isu yang tidak membantu proses semak dan imbang Belanjawan 2025.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Kubang Kerian, Permatang Pauh, Alor Setar, Rantau Panjang menjadikan Dewan Rakyat sebagai medan untuk mempersendakan kewibawaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus dilihat cuba memburukkan Kerajaan Perpaduan di mata rakyat
Penganalisis politik, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, perkara ini jika berterusan pastinya membawa kerugian kepada rakyat dan negara kerana proses demokrasi itu dapat dilaksanakan secara efisien jika negara memiliki pembangkang yang matang sekali gus dapat membuat teguran membina kepada kerajaan.

“Saya rasa mereka ini dalam kesakitan kot, yang mencemburui kebaikan orang lain. Kenapa kita nak perli dan menghina beliau (Perdana Menteri). Pada hal tak ada kena mengena dengan mereka, parti mereka, siapa nak ambil gaji ambil lah.
“Bagi saya lagi ramai pemimpin macam PMX yang tak ambil gaji lagi bagus, kita kena bersyukur. Apa masalah nak sindir nak kaitkan dengan Rasulullah.
“Apa yang patut kita risau apabila seorang wakil rakyat yang menerima gaji tidak melaksanakan tanggungjawab dia, ponteng, tidak jaga kawasan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi.
Dr Azhar yang juga Ahli Dewan Negara berkata demikian merujuk tindakan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang secara sinikal mempertikaikaikan bagaimana Anwar peroleh pendapatan jika tidak mengambil gaji daripada jawatan yang disandangnya.
Malah Timbalan Presiden Pas itu berkata, “peruntukan” oleh Allah untuk rezekinya dan keadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap “lebih daripada rasul.”
Menyentuh mengenai perkataan ketimbang yang hangat dibangkitkan di Dewan Rakyat, Dr Azhar berkata, pembangkang memang berniat menyerang perwatakan Perdana Menteri dengan mempersendakan perkataan itu yang kemudian akan disiarkan di media sosial agar dapat menghasut rakyat membenci beliau.
“Apa masalahnya dengan ketimbang? Ini perkataan yang jarang digunakan. Yang saya hairan itu pun pembangkang nak perli, hina terhadap Perdana Menteri.
“Kalau itu pun nak dijadikan modal politik, ia menunjukkan kejumudan pembangkang. Sebenarnya nak bagi sakit hati sahaja dan membuktikan pembangkang muflis modal politik.
“Jadi berhujahlah dengan baik, berkualiti bukan mengambil kesempatan dengan memperli, mempersenda, kemudian buat video dan naikkan di media sosial untuk memperlekehkan PMX sekali gus meracuni pemikiran rakyat.
“Pembangkang janganlah buat lekeh, sebab semua orang tahu kewibawaan PMX ini yang semakin hari semakin mendapat tempat di hati rakyat dengan pelbagai usaha yang dijalankan beliau,” katanya.

Ditanya mengenai prestasi baik yang ditunjukkan Anwar sepanjang dua tahun melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri, Dr Azhar menegaskan perkara itu menjadi igauan mimpi buruk pembangkang.
“Memang pembangkang tak mahu negara kita maju, ramai pelabur datang, nasib rakyat terbela, kakitangan kerajaan gembira dapat kenaikan gaji dan apa sahaja kebaikan yang dilakukan PMX. Itu adalah igauan mimpi buruk kepada pembangkang.
“Setakat ini bukan sahaja dalam negara, di luar negara pun nama Malaysia harum dan PMX telah memainkan peranan yang hebat dalam usaha mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia.
“Usaha ini telah dapat dibuktikan, PMX dapat tarik pelabur datang ke Malaysia, nilai Ringgit pula semakin mengukuh sejak akhir-akhir ini.
“Jadi tidak hairanlah, kenapa pembangkang menunjukkan gelagat agak ‘childish’ di Dewan Rakyat kerana hendak mengalih perhatian dan fokus untuk menyerang peribadi PMX, mereka muflis modal politik,” katanya.




