
PUTRAJAYA – Penggunaan logo khusus Malaysia Madani yang berteraskan enam nilai teras utama mula digunakan hari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, logo Malaysia Madani itu melibatkan enam nilai teras utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
“Kerajaan berhasrat agar pembudayaan Malaysia Madani dizahirkan melalui penggunaan logo khusus mengikut padanan kesesuaian pada setiap program dan aktiviti anjuran kementerian, jabatan dan agensi.
“Ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran keseluruhan rakyat Malaysia terhadap nilai-nilai murni yang digariskan dalam gagasan Malaysia Madani,” katanya dalam Majlis Pengumuman Logo Khusus Malaysia Madani di Kementerian Komunikasi pada Jumaat.
Majlis pengumuman itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri, Datuk Mohd Haswandi Ahmad.
Penggunaan logo khusus ini telah diselaraskan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), selaku agensi pusat yang menyelaras segala aktiviti kenegaraan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
AKM juga telah melantik Pegawai Kenegaraan di setiap kementerian dan jabatan utama dalam membantu menyelaras penggunaan logo khusus ini.
“Garis panduan logo khusus Malaysia Madani boleh didapati melalui pautan http://bit.ly/logokhususmalaysiamadani.
“Penggunaan logo khusus Malaysia Madani boleh digunakan serta-merta bermula hari ini,” ujarnya.








