
JURUSALEM – Israel kini menghadapi peningkatan dramatik kes ‘Gangguan Tekanan Pasca Trauma’ dan akhiri nyawa dalam kalangan tentera susulan konflik berterusan di Gaza, Lubnan dan ketegangan terkini dengan Iran.
Laporan terkini daripada Kementerian Pertahanan Israel dan penyedia kesihatan menyorot krisis kesihatan mental dalam kalangan anggota tentera negara itu, dua tahun selepas peperangan dengan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Konflik Gaza berkembang dengan pantas, termasuk tembakan silang antara Israel dan Hizbulah di Lubnan.
Ribuan tentera dan simpanan dikerahkan, mencatat salah satu operasi ketenteraan terbesar dalam sejarah Israel.
Sejak permulaan perang, lebih 70,000 rakyat Palestin di Gaza dan 4,400 di selatan Lubnan terkorban, manakala Israel melaporkan lebih 1,100 anggota tentera terbunuh.
“Perang ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, tetapi juga mental tentera kami,” kata seorang pegawai Kementerian Pertahanan.
Kajian menunjukkan hampir 40 peratus tentera yang sedang menerima rawatan kini mengalami ‘Gangguan Tekanan Pasca Trauma’ dan angka ini dijangka meningkat sehingga 180 peratus menjelang 2028.
Pakar psikologi klinikal, Dr Ronen Sidi menjelaskan, trauma tentera Israel datang dari dua sumber utama iaitu ketakutan melampau menghadapi kematian, serta kesan moral akibat kematian orang awam ketika operasi.
“Banyak keputusan dibuat dalam sekelip mata ketika berdepan tembakan, tetapi kadang-kala wanita dan kanak-kanak cedera atau terbunuh secara tidak sengaja. Perasaan bersalah itu sangat sukar ditanggung,” katanya.




