
PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat, pada Rabu disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh kebebasan media selain meningkatkan tahap profesionalisme kewartawanan di negara ini.
Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menerusi kenyataan berkata, walaupun terdapat beberapa perkara dalam struktur dan fungsi polisi itu yang masih menjadi tanda tanya serta menimbulkan kebimbangan, gerakan itu melihat penubuhan ini sebagai langkah awal ke arah sistem kawal selia kendiri yang lebih baik untuk industri media negara.
Badan bukan kerajaan (NGO) itu yang sentiasa memperjuangkan kebebasan media sepanjang sedekad ini demi integriti profesion kewartawanan mengakui terlibat secara langsung dalam cadangan penubuhan MMM bersama komuniti media dan pihak berkepentingan lain.
“GERAMM turut belajar dari organisasi serantau, antara lain AJI Indonesia National Union of Journalists of the Philippines, serta Association Journalist Timor Leste (AJTL) yang telah terlebih dahulu menggerakkan Majlis Media bebas.
“Namun, kita menegaskan bahawa kebebasan media tidak boleh dicapai sepenuhnya selagi wujud undang-undang yang mencengkam dan menyekat kebebasan bersuara,” katanya.
Sehubungan itu, GERAMM berpandangan keperluan buat kerajaan menilai segera undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA), Akta Hasutan 1948, serta peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sering disalahgunakan untuk menekan media.
“GERAMM juga menyeru agar MMM tidak menjadi sekadar badan simbolik tetapi benar-benar mempunyai peranan dalam melindungi wartawan, menangani isu etika secara adil, dan mempertahankan kebebasan editorial,” katanya.

Sementara itu, Centre for Independent Journalism (CIJ) pula mengharapkan RUU terbabit dapat meningkatkan keyakinan terhadap ketelusan media, mengukuhkan ekosistem maklumat dan melindungi kebebasan media yang dilihat penting memandangkan dunia ketika ini dicemari dengan pelbagai maklumat tanpa batas.
Jelasnya, pencapaian legislatif itu harus melindungi kebebasan media, menegakkan integriti kewartawanan, serta mengutamakan usaha dalam meraih kepercayaan masyarakat dalam landskap media di Malaysia.
“Tatkala persekitaran media sering dicemari penyebaran maklumat palsu dan ucapan kebencian, laporan tidak beretika yang didorong oleh perkauman, fanatisme, misogini, atau xenofobia serta penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) dan algoritma demi memaksimumkan keuntungan ekonomi, MMM ‘datang’ tepat pada masanya.
“Dengan menetapkan piawaian etika, melaksanakan mekanisme penyelesaian aduan dan pertikaian, serta mempromosikan pembangunan profesional, MMM akan memperkasakan wartawan dan pengamal media untuk bekerja secara bebas sementara mematuhi prinsip serta etika kewartawanan yang tertinggi.
“Pada masa sama, RUU itu perlu mengutamakan kebajikan pekerja media dan menuntut syarikat media agar bertanggungjawab terhadap amalan buruh yang tidak adil. Dalam kata lain, ia harus pastikan syarikat media menegakkan standard penggajian beretika, melindungi hak wartawan, di samping memastikan industri media di Malaysia adalah lestari, adil, serta bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, industri media Malaysia melakar sejarah baharu apabila Rang Undang-Undang (RRU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 diluluskan oleh Dewan Rakyat selepas 50 tahun penubuhannya dibincangkan.
RUU yang bertujuan, antara lain menubuhkan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media itu mendapat sokongan majoriti selepas dibahas 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
RUU MMM 2024 yang mengandungi 23 Fasal itu dibentangkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching untuk bacaan kali pertama pada 12 Disember tahun lalu.
Ketika membentangkan RUU MMM 2024 untuk bacaan kali kedua, pada Rabu, Nie Ching berkata, cadangan penubuhan satu jawatankuasa atau organisasi bagi menyelaras tadbir urus industri media di Malaysia dicetuskan sejak 1973 oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan sejak itu, kerajaan menerima pelbagai cadangan berbentuk serupa daripada industri media.



