ALOR SETAR – Empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) atau SG4 telah menubuhkan syarikat bersama sebagai usaha untuk memajukan lagi pentadbiran yang dikuasai oleh pembangkang.
Bagaimanapun baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tiba-tiba berminat pula untuk mengadakan kerjasama dengan kerajaan Selangor berkaitan pengurusan utiliti sambil mengakui kepakaran yang ada pada negeri kuning merah itu.
Perkembangan ini mengejutkan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan beliau berterima kasih kepada kerajaan Kedah yang mengakui kepakaran yang ada pada kerajaan Selangor di bawah kerajaan Pakatan Harapan.
Katanya, Sanusi dalam ucapannya mengakui kejayaan kerajaan Selangor yang banyak pengalaman hingga membawa negeri itu antara termaju di Malaysia dan peluang ini perlu dipelajari oleh kerajaan Kedah hari ini.
“Tak takutkah Sanusi bekerjasama dengan kerajaan yang teruk lagi daripada dajal seperti yang difatwakan oleh Presiden Pas, Tan Seri Abdul Hadi Awang? Adakah dia sudah memaklumkan kepada Presiden Pas itu?
‘Ini sungguh pelik dan beranikah Sanusi untuk menjelaskan kepada rakyat terutamanya ahli Pas bahawa ucapan Hadi itu tidak boleh dipakai. Ini secara tidak langsung perlukah ahli Pas abaikan fatwa Presiden Pas yang mereka walak selama ini,” katanya.
Mahfuz juga berkata, beliau sungguh teruja apabila kerajaan Kedah sudah mahu bekerjasama dengan mengakui kejayaan dan kehebatan yang ada pada kerajaan Selangor.
“Bagaimanapun saya bimbang nanti ada ahli Pas yang akan mengatakan bahawa jika ada pihak bekerjasama dengan dajal maka dia juga turut menjadi dajal.
‘Ini pasti akan menempelak Sanusi dan ahli Pas khususnya di Kedah,” katanya.






