Oleh: TJ ISHAK
PERJANJIAN Malaysia 1963 (MA63) yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 merupakan dokumen undang-undang antarabangsa yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.
Namun, bagi sebahagian rakyat di Sabah dan Sarawak, MA63 bukan sekadar dokumen perundangan. Ia adalah simbol sebuah janji tentang keadilan, kesaksamaan dan kedudukan sebagai ‘rakan setara’ dalam sebuah Persekutuan yang dibina atas semangat kebersamaan.
Sebab itulah, setiap kali MA63 kembali menjadi wacana nasional, ia diluah bukan hanya dengan hujah, tetapi juga dengan emosi, harapan dan kekecewaan yang terkumpul sekian lama.
Namun, adakah wacana, atau perdebatan ini berjalan menuju ke arah penyelesaian tuntas? Atau, adakah ia sedang tergelincir yang akan menjadi medan pertentangan yang menjarakkan sesama kita sebagai warganegara dalan sebuah negara bernama Malaysia?
Hakikatnya, MA63 ialah dokumen sejarah dan perundangan yang sah di sisi undang-undang. Menuntut pelaksanaannya bukanlah satu bentuk penolakan terhadap Persekutuan, sebaliknya usaha untuk memperkemaskan struktur federalisme Malaysia agar lebih adil, seimbang dan setia kepada semangat asal pembentukan negara.
Namun, apa yang berlaku hari ini, masalah mula timbul apabila tuntutan yang sah ini disertai dengan bahasa yang menggambarkan seolah-olah Sabah dan Sarawak telah dizalimi secara terancang dan sistematik sepanjang lebih enam dekad kewujudan Malaysia.
Naratif sebegini, walaupun terzahir daripada rasa tidak puas hati yang tulen, ia perlu ditangani dengan cermat. Isu sebenar yang sedang diperdebatkan hari ini ialah perbezaan tafsiran perlembagaan, pembahagian kuasa dan pelaksanaan dasar, bukannya persoalan siapa musuh kepada siapa.
Dalam sebuah sistem Persekutuan, perbezaan pandangan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri adalah sesuatu yang lumrah. Ia sepatutnya diraikan sebagai sebahagian daripada dinamika demokrasi, lalu diselesaikan melalui rundingan, penjelasan terbuka dan mekanisme undang-undang.
Pendekatan inilah yang selari dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa beberapa aspek MA63 memerlukan penentuan melalui Mahkamah Persekutuan. Inilah lunas sebuah negara berperlembagaan, di mana apabila terdapat tafsiran berbeza, biarlah mahkamah mengadili. Jika masih wujud ketidakpuasan, saluran perundangan lain, termasuk di peringkat antarabangsa, turut tersedia. Yang penting, seluruh proses ini dilalui secara beradab, telus dan bermaruah.
Dalam konteks tersebut, kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang meluahkan kekecewaan terhadap budaya politik pertelagahan di Semenanjung wajar dibaca sebagai luahan keletihan, bukan seruan pemisahan.
Sarawak memiliki pengalaman dan pendekatan tersendiri dalam mengurus kepelbagaian kaum dan agama, dan kekuatan itu seharusnya dilihat sebagai aset kepada perpaduan nasional, bukan alasan untuk menjauhkan diri daripada Persekutuan.
Sokongan yang dizahirkan oleh Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pula mencerminkan keresahan yang nyata di Malaysia Timur. Keresahan ini tidak berakar daripada kebencian terhadap Kerajaan Persekutuan, tetapi daripada kebimbangan bahawa dialog semakin digantikan dengan pertikaian terbuka dan tindakan undang-undang yang berpanjangan. Keresahan seperti ini wajar didengar, difahami dan ditangani secara serius oleh kepimpinan nasional.
Namun harus ditegaskan, penggunaan istilah seperti ‘bercerai’, ‘berpisah’ atau ‘tidak ditakdirkan bersama’ dalam perbahasan awam adalah tidak membina. Kata-kata mempunyai kuasa membentuk realiti. Walaupun ia mungkin terbit daripada kekecewaan yang mendalam, ia boleh memberi kesan besar terhadap kestabilan politik, keyakinan pelabur, keselamatan negara dan yang paling kritikal masa depan generasi akan datang.
Sejarah juga perlu dilihat secara adil dan menyeluruh. Sabah dan Sarawak memang melalui fasa penjajahan, kemunduran infrastruktur dan jurang pembangunan. Namun selepas pembentukan Malaysia, sistem federalisme telah menjadi saluran utama kepada usaha pembangunan, keselamatan dan penyediaan prasarana, yang dibiayai melalui hasil negara serta sumbangan seluruh rakyat Malaysia. Ini bukan untuk menafikan kelemahan yang wujud, tetapi untuk mengakui bahawa perjalanan membina negara ini adalah hasil usaha kolektif.
Maka, ini bukan soal menafikan hak Sabah dan Sarawak. Hak tersebut wujud, dan wajib dihormati. Namun tuntutan hak tidak seharusnya disertai naratif yang meletakkan wilayah lain sebagai punca segala masalah. Perpaduan tidak menuntut keseragaman, tetapi menuntut kejujuran, kewarasan dan kematangan dalam mengurus perbezaan.
Malaysia tidak rapuh kerana perbezaan tafsiran terhadap MA63. Yang merapuhkan negara ialah apabila perbezaan itu dieksploitasi sebagai senjata politik demi keuntungan jangka pendek. Akhirnya, pilihan di tangan para pemimpin adalah jelas, sama ada menyelesaikan isu MA63 sebagai negarawan, atau membiarkannya menyala sebagai api perpecahan.
Semangat Malaysia yang dipersetujui pada tahun 1963 menuntut kita untuk terus memilih dialog berbanding dendam, hujah berbanding herdikan, dan tanggungjawab bersama berbanding saling menyalahkan. Di situlah letaknya makna sebenar perpaduan.







