
SANDAKAN – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, mendakwa Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal melaksanakan langkah konkrit berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, janji melantik penaksir bebas seperti yang diumumkan sebelum ini hanya tinggal retorik, manakala rakyat terus diberikan alasan dan jawapan yang tidak jelas.
“Pada 7 Mac 2024, cadangan melantik penaksir bebas telah dikemukakan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Namun pada 22 April 2024, Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun hanya menyatakan akan ada rundingan berfasa, dengan pelantikan penaksir bebas sekiranya rundingan gagal.
“Sehingga kini, terbukti kata-katanya sekadar propaganda murahan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Ahad.
Suhaimi berkata, mesyuarat teknikal MA63 di Putrajaya pada 13 Mac 2025 turut menetapkan rundingan rasmi pada 30 Jun 2025, namun mesyuarat berkenaan tidak berlangsung.
Malah, katanya, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan sendiri mengakui tidak menerima jemputan bukti yang kepimpinan negeri lemah dan hilang maruah.
Menurut beliau, sehingga Ogos 2025, tiada sebarang data rasmi, pelantikan penaksir bebas atau hasil tuntutan yang berjaya diperoleh, sebaliknya hanya pengumuman bahawa perbincangan akan diadakan pada 12 September depan serta pemberian interim yang dinaikkan kepada RM600 juta.
“Jumlah itu digembar-gemburkan sebagai kejayaan, sedangkan hak sebenar rakyat Sabah jauh lebih besar daripada jumlah tersebut,” katanya.
Beliau turut menegaskan kenyataan beberapa pemimpin GRS termasuk Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya, yang meminta rakyat memberi mandat kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri ke-17 bagi meneruskan perjuangan 40 peratus hasil negeri, hanya retorik politik.
“Jika sekarang pun gagal dilaksanakan, apa jaminannya selepas PRN nanti?” soalnya.
Suhaimi berkata, kegagalan memenuhi janji tersebut membuktikan kepimpinan GRS lemah dan tidak berupaya menguruskan tuntutan hasil negeri dengan berkesan.
“Rakyat berhak bertanya, di mana penaksir bebas yang dijanjikan, di mana data yang dijanjikan dan di mana hasil 40 peratus yang dijanjikan?
“Jawapannya jelas, semua itu hilang ditelan pembohongan GRS” ujarnya.



