KUALA LUMPUR – Perlembagaan Persekutuan menyebutkan Sabah dan Sarawak sebagai ‘negeri’ selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina memaklumkan Dewan Rakyat, Fasal 1 MA63 menyebut Borneo Utara, Sarawak dan Singapura bersekutu dengan negeri-negeri sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu, ‘sebagai Negeri Sabah, Sarawak dan Singapura’.
Katanya, Persekutuan Malaysia terhasil melalui MA63 antara British, Persekutuan Tanah Melayu serta Borneo Utara, Sarawak dan Singapura dan Dewan Rakyat mengesahkan perjanjian itu pada Ogos 1963.
Jelasnya, ‘Persekutuan’ ditafsirkan mengikut Perkara 160(2) Perlembagaan sebagai ertinya, antara lain, ‘Persekutuan yang dikenali sebagai Malaysia dengan Koloni Borneo Utara, Sarawak dan Negeri Singapura bersekutu dengan negeri-negeri sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu sebagai negeri Sabah, Sarawak dan Singapura,” katanya.
Azalina menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang bertanya bila kerajaan akan meminda sebutan Sabah dan Sarawak sebagai ‘negeri’ kepada ‘wilayah’ atau istilah lain dalam Perlembagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari 2023 dilaporkan berkata, cadangan mengubah status Sabah dan Sarawak daripada ‘negeri’ kepada ‘wilayah’ perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.
Katanya, proses itu boleh dijalankan, namun sama ada disebut ‘negeri’ atau ‘wilayah’ tidak mengubah sikap dan pendirian kerajaan, bahawa entiti Malaysia adalah Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu.
Kerajaan Sabah dan Sarawak sudah lama membantah pindaan pada Perlembagaan di mana Sabah dan Sarawak disenaraikan sebagai antara 13 negeri membentuk Persekutuan.




