
PUTRAJAYA – Seramai 13 lagi pegawai pemeriksa kenderaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di sekitar ibu negara.
Sumber memaklumkan, kesemua suspek lelaki berusia antara 20 dan 40-an itu ditahan antara pukul 1 hingga 2 petang Selasa dan 10 pagi hingga 3 petang, semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM150 hingga RM1,500 sebulan secara tunai daripada ‘runner’ sebagai balasan membantu meluluskan pemeriksaan kenderaan di mana mereka bertugas.
“Penahanan kesemua suspek adalah susulan tangkapan enam pegawai pemeriksa kenderaan pada Isnin lalu dan juga hasil soal siasat yang dijalankan oleh SPRM ke atas seorang ejen yang diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini.
“Sehingga hari ini, SPRM telah menahan 22 suspek termasuk 19 pegawai pemeriksa kenderaan, seorang ejen dan dua orang runner,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.
“Bagaimanapun, kesemua 13 pegawai pemeriksa kenderaan yang ditahan pada Selasa dan Rabu akan dilepaskan dengan jaminan SPRM, selepas keterangan diambil,” katanya.
Sehingga hari ni SPRM telah menahan 22 suspek termasuk 19 pegawai pemeriksa kenderaan, seorang ejen dan dua orang runner.
Kelmarin, Puspakom mengesahkan enam pemeriksa kenderaan syarikat itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah cawangannya, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, penahanan itu berikutan keterangan yang diberi oleh salah seorang ejen yang disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Tegasnya, Puspakom memandang serius perkara itu dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang salah laku dalam organisasi tersebut, terutamanya yang membabitkan integriti operasi pemeriksaan kenderaan oleh syarikat itu.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan terhadap kenderaan yang tidak mematuhi standard tetapi diluluskan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah mengadakan perbincangan dengan SPRM hari ini, untuk mengenal pasti tahap integriti membabitkan kakitangan Puspakom.





