
ARAU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis menyita lima kenderaan mewah dalam satu operasi khas selepas didapati gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM).
Tindakan itu dilaksanakan menerusi operasi dikenali sebagai Ops Luxury yang dijalankan baru-baru ini.
Menurut Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd. Nawi berkata, kesemua kenderaan terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan-kenderaan tersebut melakukan kesalahan LKM tamat tempoh. Jumlah tunggakan bayaran LKM bagi lima kenderaan itu dianggarkan sebanyak RM10,000.
“Nilai semasa keseluruhan lima kenderaan mewah berkenaan pula dianggarkan RM941,000 dengan sebuah daripadanya mencecah nilai RM485,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Noraini, tindakan sitaan dilaksanakan selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada.
Beliau menegaskan tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Kegagalan memperbaharui cukai jalan dan insurans merupakan satu kesalahan serius yang bukan sahaja melanggar peruntukan undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain,” jelasnya.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa memastikan dokumen kenderaan diperbaharui sebelum tamat tempoh dan tidak menunggu sehingga tindakan penguatkuasaan diambil.






