
TONGOD – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah menyambut baik lawatan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ke Kompleks Sukan Tongod yang sekian lama tergendala.
Masiung berkata, isu berkenaan sebelum ini telah beberapa kali disuarakan olehnya di Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk ketika sesi perbahasan.
Menurutnya, lawatan tersebut dilihat sebagai respon positif kerajaan negeri dalam menangani kebimbangan rakyat khususnya golongan belia di kawasan itu.
“Perkara ini memang sudah lama kita bangkitkan di DUN dan pelbagai pendekatan diplomasi turut dibuat.
“Namun kali ini kita menerima respon yang sangat baik daripada Menteri KBSK yang turun sendiri melihat keadaan kompleks sukan ini,” katanya ketika ditemui media selepas melawat Kompleks Sukan Tongod, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, kehadiran menteri berkenaan diharap mampu melegakan kerisauan penduduk, terutama golongan belia yang sekian lama menantikan kemudahan sukan untuk aktiviti riadah.
Dalam pada itu, Masiung turut menyeru rakyat di DUN Kuamut supaya terus bersabar sementara menunggu penyelesaian tuntas daripada pihak kerajaan.
“Saya juga berharap lawatan seperti ini dapat diteruskan secara berkala, mungkin setiap tiga atau enam bulan, supaya pemantauan dapat dibuat secara berterusan,” ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan turun padang oleh pemimpin diyakini mampu mempercepatkan penyelesaian isu rakyat sekali gus menyokong aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).






