
KUCHING – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh menghadiri Sesi Taklimat Perancangan Pembangunan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) bersama Sri Aman Development Agency (SADA) di Empangan Batang Ai pada Khamis.
Kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan setiap projek pembangunan di kawasan Batang Ai dirancang dan dilaksanakan secara teratur serta memberi manfaat optimum kepada rakyat setempat.
Menurut beliau, sesi taklimat berkenaan amat penting bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung hala tuju pembangunan yang dirancang, di samping memastikan kepentingan dan kebajikan penduduk tempatan sentiasa diberi keutamaan dalam setiap inisiatif.
“Saya mengambil serius segala perancangan pembangunan di kawasan Batang Ai dan menyokong sepenuhnya usaha yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.
Pembangunan yang dirancang perlu dilaksanakan secara bersepadu supaya benar-benar memberi impak positif kepada komuniti tempatan,” katanya.
Beliau turut menyokong usaha penyelarasan antara SADA dengan SEB bagi mengelakkan pertindihan projek serta memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan saling melengkapi dan selari dengan agenda pembangunan mampan di Sri Aman.
Sebagai wakil rakyat Batang Ai, Datuk Dr Malcolm menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi pelaksana serta pihak berkepentingan dalam memastikan projek-projek yang dirancang dapat direalisasikan dengan teratur dan mengambil kira keperluan sebenar rakyat.
Beliau berharap kerjasama strategik tersebut mampu membuka lebih banyak peluang pembangunan, meningkatkan taraf hidup penduduk setempat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi di Batang Ai.






