KUALA LUMPUR – Perdana Menteri China, Li Qiang menyeru agar kerjasama tiga hala antara China, ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) diperkukuh, terutamanya dalam menghadapi gelombang baharu revolusi teknologi dan transformasi industri global.
Berucap pada Forum Ekonomi ASEAN-GCC-China yang diadakan pada Selasa, beliau menekankan perlunya kesepaduan untuk meneroka sektor pembangunan strategik termasuk teknologi tinggi, perlindungan rantaian bekalan dan pengukuhan industri utama.
Menurut Li, gabungan saiz ekonomi tiga rantau ini membentuk kira-kira satu perempat daripada ekonomi global, namun perdagangan hanya menyumbang sekitar 5.4 peratus daripada jumlah perdagangan dunia satu angka yang menunjukkan potensi kerjasama yang besar.
“Ini merupakan permulaan penting untuk kita mengukuhkan kerjasama dan mempercepat pembangunan,” katanya.
Mengulas lanjut, Li optimis dengan potensi pertumbuhan kerjasama tiga hala berdasarkan pengalaman positif semasa lawatannya ke Malaysia, Timur Tengah dan negara-negara Teluk sebelum ini.
Katanya, setiap negara memiliki kekuatan tersendiri yang boleh disinergikan untuk mewujudkan ekosistem inovasi yang mampan.
“Kerjasama ini akan menjana sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkualiti tinggi untuk platform inovasi, rangkaian luas produk gunaan dan memupuk pertumbuhan industri yang sedang pesat membangun.
“Ia juga dapat menjana model baharu perniagaan sekali gus memperluas pengaruh dan kedudukan negara tiga pihak ini dalam landskap inovasi,” katanya.
Sebagai contoh, beliau memetik kejayaan China dalam sektor kenderaan tenaga baharu (NEV), dengan lebih empat juta unit dikeluarkan dan dijual dari Januari hingga April tahun ini.
Selain itu, Li berkata, lebih 80 peratus sektor pembuatan China kini beroperasi menggunakan rangka kerja ‘Kilang Pintar’.
“NEV bukan sekadar kejayaan revolusi tenaga malah juga integrasi teknologi pintar, berfungsi sebagai hab pintar utama yang mempercepat pembangunan pelbagai teknologi baharu,” katanya.
Selain itu, Li turut menegaskan bahawa China kekal komited kepada dasar fiskal yang proaktif dan dasar penyesuaian kewangan yang seimbang, sambil mempercepatkan transformasi perindustrian ke arah pembangunan berasaskan teknologi tinggi, pintar dan hijau.
“Tidak kira apa jua cabaran yang mendatang, kerajaan dan rakyat China mempunyai kapasiti dan keyakinan untuk memastikan ekonomi China stabil dan berada pada landasan yang betul.
“Kami mahu meningkatkan pembukaan peringkat tinggi dan memperkenalkan langkah keterbukaan yang lebih autonomi dan stabil,” katanya.
Justeru, beliau menekankan bahawa kejayaan pembangunan Asia dalam beberapa dekad lalu membuktikan bahawa perpaduan, kestabilan dan keamanan merupakan asas utama kepada pertumbuhan yang mampan.
“Tanpa kepercayaan bersama, konflik akan wujud dan meningkat, menjadikan kerjasama itu suatu yang sukar.







