YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan harapan agar ASEAN bersama rakan strategiknya akan terus kekal kukuh dalam semangat perpaduan dan saling menghormati, demi membentuk masa depan yang inklusif, berdaya tahan serta berpandangan jauh.
“Malaysia amat berbesar hati menjadi tuan rumah kepada sidang-sidang kemuncak penting ini, yang mencerminkan komitmen bersama kita dalam memajukan keamanan, kemakmuran dan perkongsian serantau.
“Semoga masa anda di sini akan terus memperkukuh ikatan persahabatan dan kerjasama yang menyatukan kita semua,” titah baginda menerusi kenyataan di laman Instagram rasmi pada Selasa.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena Majlis Santapan Diraja yang dihoskan oleh baginda di Istana Negara bersempena Sidang Kemuncak ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (GCC)–China yang berlangsung pada Selasa.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim, pemimpin-pemimpin tertinggi ASEAN dan negara GCC, China serta Timor-Leste.
Baginda berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja yang berlangsung di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara.
Sultan Ibrahim berkenan menyambut ketibaan para pemimpin negara yang hadir sebelum menyampaikan Titah Diraja serta beramah mesra dan bergambar kenangan bersama para tetamu kehormat.
Majlis itu julung kali diadakan sempena sidang kemuncak berprofil tinggi tersebut.





