
TAWAU – Seorang lelaki tempatan ditahan polis dipercayai terbabit jenayah pecah rumah di sini yang mengakibatkan kerugian RM28,012.
Menurut hantaran Facebook Polis Daerah Tawau, suspek 30 tahun itu ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Kampung Pukat.
“Seorang lelaki mendapati rumah miliknya yang terletak di Taman Jen Loong telah dipecah masuk kemudian tampil bagi membuat laporan di Balai Polis Tawau.
“Mangsa telah kehilangan beberapa peralatan rumah dan mengalami kerugian dianggarkan RM28,012,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Jelasnya, menerusi laporan dibuat, Bahagian Siasatan Jenayah (CID) Daerah Tawau telah menggerakkan operasi bagi mengesan seorang lelaki dipercayai suspek kes pecah rumah tersebut.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan polis telah menemui beberapa peralatan rumah dipercayai mempunyai hubung kait dengan kes pecah rumah yang sedang disiasat.
“Turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Saga beserta kunci,” katanya.
Suspek dan kesemua barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.







