
KUCHING – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan cadangan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir kurang munasabah.
Abang Johari berkata walaupun Sarawak sudah mencapai taraf negeri berpendapatan tinggi, tetapi masih belum memadai memandangkan banyak perkara masih perlu dilakukan terutama membantu pendapatan isi keluarga.
“Bekas Perdana Menteri tidak seharusnya membandingkan Sarawak dengan negeri lain terutama Kedah kerana saiznya lebih kecil dan masih banyak perlu dilakukan oleh kerajaan Sarawak,” kata beliau lagi.
Ujar beliau, Sarawak maju dari segi ekonomi kerana pentadbiran kerajaan Sarawak sangat baik dan cekap.
“Saya sebenarnya enggan mahu mengulas tetapi saya agak terkejut dengan cadangan beliau (Tun Mahathir),” kata beliau kepada media selepas merasmikan Persidangan Pelan Induk Kelestarian Sarawak di Kuching pada Selasa.
Sebelum ini, Tun Dr Mahathir mahu Sarawak berkongsi kekayaan dengan negeri yang lebih mundur ekoran pendapatan negeri itu bertambah baik.
Beliau berpendapat Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan dan negeri yang kaya seharusnya membantu negeri yang mundur.





