
SANDAKAN – Laporan polis berhubung satu kandungan video yang tular di media sosial TikTok dibuat kerana didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Rajali Mohd, 47, berkata, video tersebut mengandungi kenyataan biadab dan tidak sopan yang disifatkan sebagai jelas menghina kedudukan rasmi TYT Sabah serta boleh menjejaskan keharmonian awam.
“Kandungan itu berpotensi mencetuskan kemarahan rakyat dan mengganggu ketenteraman awam, malah boleh mendorong kepada hasutan terhadap institusi tertinggi negeri,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, sebagai rakyat yang menjunjung kedaulatan negeri dan menghormati institusi TYT, beliau menganggap perbuatan tersebut sebagai pelanggaran serius terhadap tatasusila dan Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Rajali memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan di bawah peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan provokasi yang boleh menimbulkan gangguan awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penyebaran kandungan jelik serta menghina menerusi kemudahan rangkaian.
“Saya menyeru rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan menghina institusi negeri.
“Hormatilah undang-undang, hormatilah institusi negeri,” ujarnya.






