
SIMUNJAN – Penduduk di sekitar kawasan Sungai Apin kini menikmati kemudahan sukan yang lebih selesa susulan siapnya projek naik taraf padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Apin yang melibatkan kos sebanyak RM150,000.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, projek yang siap sepenuhnya pada Mac itu memfokuskan kepada penyelesaian masalah teknikal padang, termasuk kerja-kerja menembok dan pemasangan sistem saliran fishbone bagi menangani isu air bertakung yang sering menghantui warga sekolah sebelum ini.
”Selain sistem saliran yang lebih sistematik, padang ini juga telah ditanam sepenuhnya dengan rumput jenis cow grass bagi memastikan permukaan padang lebih berkualiti dan tahan lasak.
“Kemudahan ini bukan sahaja untuk kegunaan murid-murid, malah ia direka sebagai pusat aktiviti riadah komuniti bagi penduduk dari enam buah kampung sekitar, selain bakal menjadi lokasi penganjuran sukan Zon 3 Sungai Apin tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui wartawan.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Rodiyah mendedahkan bahawa pembangunan fasa kedua sedang dirangka dengan anggaran kos antara RM100,000 hingga RM150,000 menggunakan peruntukan Persekutuan bagi tahun 2027.
Skop kerja fasa seterusnya itu dijangka merangkumi pemasangan jaring keselamatan, pembinaan pagar di belakang pintu gol, serta perluasan kawasan penanaman rumput.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan projek berkenaan isu pembangunan semula bangunan SK Sungai Apin kini berada di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
”Pihak JKR sedang dalam proses menghantar Notis Perubahan (NOC) kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) susulan terdapat peningkatan dalam kos pembinaan semasa. Sekiranya permohonan ini diluluskan, kita menjangkakan kerja-kerja pembinaan fizikal bangunan sekolah dapat dimulakan pada tahun hadapan,” tambah beliau.





