
SARATOK – Pasukan Task Force Op Tapis IPD Saratok berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam operasi khas di Pekan Saratok, pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie, pihaknya menerima maklumat awam mengenai seorang lelaki yang berkeliaran dalam keadaan mencurigakan di kawasan pekan.
“Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan Task Force yang diketuai oleh SI Englebert telah segera ke lokasi dan berjaya menahan individu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Suspek berusia 46 tahun dan beralamat di Miri itu dibawa ke Balai Polis Saratok untuk ujian saringan air kencing dan semakan rekod jenayah.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif amphetamine/methamphetamine. Semakan lanjut turut mendedahkan beliau mempunyai dua rekod lampau berkaitan narkotik,” jelas DSP Mathew.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis Saratok akan terus komited membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” tegas beliau.






