
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia memupuk semangat saling menghormati dan memperkukuh perpaduan sempena sambutan Hari Deepavali.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Anwar berkata, perayaan Pesta Cahaya itu membawa makna kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan menundukkan kejahatan serta kekuatan ilmu mengatasi kejahilan.
“Sebagai sebuah bangsa yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan, marilah kita terus memupuk semangat saling menghormati dan memperkukuh persefahaman antara satu sama lain,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, kesempatan perayaan itu wajar digunakan untuk menyemai perpaduan, menyantuni mereka yang memerlukan serta memperteguh semangat kekitaan yang menjadi asas kekuatan negara.
“Moga perayaan Deepavali kali ini diraikan dengan jiwa yang penuh kesyukuran dan semangat kebangkitan pemikiran yang segar, agar darjat serta harakat rakyat terus terangkat menuju Malaysia yang lebih harmoni dan sejahtera,” katanya.
Beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu dan menzahirkan harapan agar sambutan tahun ini disambut dengan penuh keceriaan dan semangat kekeluargaan.
“Deepavali Nal Vazhtugal!,” katanya menutup hantaran itu.







