
SANDAKAN – Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Sandakan selepas mengaku bersalah memiliki dan mengawal instrumen pembayaran serta akaun bank milik orang lain secara tidak sah.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner (ACP) George Abd Rakman berkata, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
“Kes ini jelas menunjukkan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan maklumat perbankan atau instrumen pembayaran milik orang lain,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.
George turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyerahkan maklumat sensitif seperti nombor akaun bank, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kata laluan perbankan atau nombor kod pengesahan transaksi (TAC) kepada mana-mana pihak tanpa tujuan sah.
Katanya, tindakan menyerahkan akaun atau maklumat perbankan kepada pihak ketiga boleh menyebabkan seseorang menjadi suspek atau bersubahat dalam penipuan dalam talian, pengubahan wang haram serta jenayah siber lain.
“Jangan sesekali menjadi ‘keldai akaun’ (money mule).
“Jika maklumat akaun disalah guna atau jatuh ke tangan orang lain segera laporkan kepada pihak polis,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya orang ramai menukar kata laluan secara berkala dan elakkan berkongsi maklumat kewangan melalui panggilan telefon, mesej atau pautan mencurigakan.
“Kesedaran dan tindakan proaktif amat penting untuk membanteras jenayah penyalahgunaan maklumat perbankan.
PDRM akan terus mengambil tindakan tegas demi melindungi keselamatan kewangan masyarakat,” ujarnya.





