
PROSES bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM17 bilion telah dilakukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sehingga 18 Disember ini yang membabitkan 3,529,748 kes susulan peruntukan tambahan diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
LHDN dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu, RM15 bilion diproses bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Disember 2025 membabitkan 3,521,929 kes, manakala RM2 bilion lagi diproses secara tambahan dalam tempoh 9 hingga 18 Disember 2025, berkait 7,819 kes.
“Daripada keseluruhan RM4 bilion peruntukan tambahan, sebanyak RM2 bilion sudah dikreditkan kepada pembayar cukai, manakala baki RM2 bilion peruntukan tambahan akan diproses dan diselesaikan sebelum akhir Disember ini.
“Dana tambahan RM1 bilion pertama sudah digunakan bagi menyelesaikan tunggakan bayaran balik melebihi tiga tahun tanpa mengira jumlah terbabit.
“Sementara itu, RM1 bilion seterusnya memberi tumpuan kepada bayaran balik berusia dua tahun ke atas, khususnya membabitkan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” menurut kenyataan itu, hari ini.
LHDN turut menasihatkan pembayar cukai supaya memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan adalah tepat dan terkini bagi memudahkan proses bayaran balik.
LHDN menegaskan, bayaran balik tidak dapat diproses sekiranya terdapat kesilapan akaun bank, pertikaian kes mahkamah, tunggakan cukai lain atau syarikat telah dibubarkan.
“LHDN akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik dan keutamaan turut diberikan kepada amaun tertunggak yang membabitkan PKS,” katanya.
Sebarang pertanyaan boleh disalurkan melalui HASiL Contact Centre di talian 03-8911 1000, HASiL Live Chat atau Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas.







