IMF puji ekonomi Malaysia kental hadapi cabaran sepanjang tahun 2025

TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) memuji prestasi ekonomi Malaysia yang mempamerkan daya tahan ekonomi yang kental tahun ini meskipun berdepan ketegangan dan ketidakpastian dasar perdagangan global.

Ketuanya, Masahiro Nozaki berkata, ketidakpastian ini turut disokong oleh penggunaan dan pelaburan domestik, peningkatan pekerjaan dan kitaran kukuh sektor teknologi global, namun ekonomi Malaysia kental menghadapinya.

“Prestasi teguh ini sebahagiannya mencerminkan dasar ekonomi negara yang kukuh – pihak berkuasa mengekalkan dasar makroekonomi dan kewangan yang berhemat,” katanya selepas sesi perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkepentingan lain.

Menurut IMF, perjanjian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) pada Oktober 2025 telah membantu mengurangkan ketidakpastian terhadap perniagaan dan pengguna di Malaysia.

Bagaimanapun, landskap global telah berubah, dengan ketidakpastian global menjadi satu normal baharu, pembinaan semula penampan makroekonomi Malaysia kekal menjadi satu yang kritikal.

“Daya tahan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dalam tempoh terdekat ini, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.

“IMF mengunjurkan pertumbuhan akan perlahan sedikit daripada 4.6 peratus pada 2025 kepada 4.3 peratus pada 2026, mencerminkan kesan tarif tinggi AS ke atas Malaysia,” kata Nozaki dalam satu kenyataan hari ini.

Nozaki menegaskan, pertumbuhan berdepan risiko negatif berpunca terutamanya daripada faktor luaran.

“Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, kelembapan permintaan luaran boleh menjejaskan Malaysia sekiranya berlaku peningkatan langkah-langkah perlindungan, turun naik pasaran kewangan global dan potensi penurunan ledakan Kecerdasan Buatan (AI),” katanya.

Bagaimanapun, terdapat juga kemungkinan berlakunya peningkatan positif, termasuk kejayaan dalam rundingan perdagangan global, aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada dijangkakan dan pelaksanaan pembaharuan struktur yang lebih pantas.

Pengurusan fiskal berhemat

“Komitmen Malaysia terhadap pengurusan fiskal yang berhemat dapat dilihat melalui kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang penting pada 2023 dan pengurangan defisit fiskal yang stabil sejak 2022,” kata Nozaki.

Nozaki berkata, IMF menyambut baik rancangan pihak berkuasa untuk mengurangkan lagi defisit fiskal kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 dan kepada 3 peratus menjelang 2028.

Menurutnya, usaha berterusan membina semula penampan fiskal melalui langkah-langkah perbelanjaan dan hasil yang mampan dan berkualiti tinggi kekal penting memandangkan hutang Kerajaan Persekutuan yang berada pada 64.6 peratus daripada KDNK pada akhir 2024, masih melebihi paras prapandemik.

“Kami mengalu-alukan usaha berterusan untuk memperkukuh ketelusan fiskal dan kecekapan perbelanjaan, termasuk kelulusan Akta Perolehan Kerajaan 2025.

“Inflasi, dengan purata 1.4 peratus sepanjang Januari-Oktober 2025, diunjurkan kekal stabil dan secara beransur-ansur kembali kepada purata jangka panjangnya iaitu 2 peratus.” katanya.

Dalam konteks ini, beliau berkata, IMF menilai pendirian dasar monetari semasa sebagaimana yang sesuai.

Dasar monetari perlu terus bersandarkan kepada data

Pada masa depan, katanya, dasar monetari perlu kekal bersandarkan kepada data untuk terus mengukuhkan jangkaan inflasi dan memelihara pertumbuhan di tengah-tengah ketidakpastian global yang meningkat.

Selain itu, katanya, IMF juga mengalu-alukan komitmen berterusan pihak berkuasa terhadap fleksibiliti kadar pertukaran dan usaha berterusan untuk memperdalam pasaran pertukaran asing.

“Risiko sektor kewangan sistemik kekal terkawal. Bank-bank Malaysia mengekalkan penampan modal dan kecairan yang mencukupi, lembaran imbangan isi rumah dan korporat kekal sihat, dan pasaran perumahan kekal stabil,” katanya.

Nozaki berkata, langkah berhemat yang berterusan penting dalam mendepani ketidaktentuan seperti isi rumah dengan tahap kadar hutang yang tinggi, pendedahan bank kepada firma yang terjejas akibat tarif AS, dan hubungan antara bank dan institusi kewangan bukan bank.

“Risiko pendanaan luaran bank kekal terkawal dan dikurangkan melalui pegangan aset mata wang asing yang mencukupi, walaupun pemantauan berterusan diperlukan memandangkan risiko pasaran kewangan global yang tinggi,” katanya.

Pelaksanaan pantas pembaharuan struktur di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026-30 adalah kunci bagi pertumbuhan inklusif yang didorong permintaan domestik.

Pembaharuan pasaran buruh yang bertujuan untuk meningkatkan gaji sektor swasta, mengurangkan kekurangan pekerjaan berkaitan kemahiran dan meningkatkan penyertaan tenaga buruh wanita dapat membantu mencapai matlamat pembangunan yang bercita-cita tinggi di bawah RMK13.

Perdagangan dan integrasi kewangan yang lebih mendalam dengan ASEAN dapat meningkatkan potensi pertumbuhan jangka panjang di Malaysia.

Menerusi kenyataan itu, pasukan IMF turut mengucapkan terima kasih kepada para pegawai Kerajaan Malaysia dan Bank Negara Malaysia, institusi awam lain, dan wakil daripada sektor swasta atas perbincangan yang produktif.

Related Posts

PDRM tingkat kawalan stesen minyak sempadan, Ops Tiris 4.0 digerakkan

PADANG BESAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) mempertingkatkan kawalan di stesen minyak berhampiran sempadan negara menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 bagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kekal harga diesel: Rakyat Sarawak rai inisiatif, zahir penghargaan buat Kerajaan MADANI

Oleh: JASMINE AE, NANA MOHAMAD, HAFIQ HASSAN & HELDA JULIE KUCHING – Keputusan Kerajaan MADANI mengekalkan harga bahan api diesel pada kadar RM2.15 seliter di Sarawak disambut baik dan disifatkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sifarkan miskin tegar: Kerajaan Pas Kedah kini bercanggah dengan fitrah

Sifarkan miskin tegar: Kerajaan Pas Kedah kini bercanggah dengan fitrah

Pelantikan Pendakwa Raya melalui Parlimen tidak dapat elak pengaruh politik – Azalina

Pelantikan Pendakwa Raya melalui Parlimen tidak dapat elak pengaruh politik – Azalina

11 individu ditahan bantu siasatan pergaduhan akibat salah faham keluarga

11 individu ditahan bantu siasatan pergaduhan akibat salah faham keluarga

Sarapan percuma libat 873 sekolah di Selangor mulai Ogos

Sarapan percuma libat 873 sekolah di Selangor mulai Ogos

Villa tewaskan Bologna, mara ke separuh akhir Liga Europa

Villa tewaskan Bologna, mara ke separuh akhir Liga Europa

Semua kementerian diarah semak status tanah tidak dibangunkan

Semua kementerian diarah semak status tanah tidak dibangunkan