Lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang isytihar sokong PMX jika Hamzah dipecat Bersatu

KUALA LUMPUR – Kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam Bersatu dilihat semakin goyah apabila sumber dalaman parti mendakwa Lembaga Disiplin hampir pasti mengambil tindakan drastik dengan memecat Ahli Parlimen Larut itu.

Sumber dalaman Bersatu mendedahkan, rasa tidak puas hati dalam kalangan kelompok tertentu yang rapat dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memuncak susulan beberapa langkah diambil Hamzah yang dianggap melangkaui garis kepimpinan.

Menurut beliau, dakwaan penglibatan beliau dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) serta tuduhan melakukan serangan terhadap Presiden hanyalah alasan yang sedang digunakan bagi membuka jalan kepada pemecatan.

“Hamzah yang berperanan sebagai Ketua Pembangkang ada membuat rundingan bersama beberapa pemimpin utama Pas dan pemimpin tertinggi UMNO, dipercayai berlangsung di negara jiran pada awal Disember lalu namun tindakan itu meresahkan kem (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) serta pihak yang menentangnya.

“Biarpun pertemuan itu dikaitkan dengan usaha penyatuan ummah, namun episod itu menyebabkan sesetengah pemimpin dalam Bersatu yang menyokong Muhyiddin dilihat mula gusar dan marah dengan beberapa langkah diambil oleh Hamzah,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Mengulas lanjut, sumber mendedahkan perbincangan dengan seteru parti pernah dibawa ke dalam pertemuan dengan ketua bahagian serta dibincangkan pada peringkat pemimpin tertinggi Bersatu, di mana sebahagian besarnya menyambut secara positif langkah itu.

“Bagaimanapun mungkin itu menjadi ancaman sebilangan kecil pemimpin Bersatu yang lain. Mereka resah dan seolah-olah langkah perbincangan ini boleh menggugat kedudukan, apatah lagi Presiden Bersatu itu sendiri,” katanya.

Biarpun tidak diperincikan bentuk tugasan itu, amalan biasa dalam mana-mana parti politik termasuk UMNO, PKR, malah Pas sendiri, rundingan dan perbincangan dengan parti lain sama ada yang berada dalam blok pembangkang dan kerajaan, sememangnya menjadi tugas orang nombor dua dan tiga parti.

Seperti rundingan awal pembentukan kerajaan pasca PRU15 lalu, Timbalan Presiden UMNO juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan diberi mandat mengetuai pasukan mewakili BN untuk berunding dengan PN dan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Sama juga peranan dimainkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengetahui rundingan antara blok parti, mewakili parti masing-masing.

Sementara itu, sumber tertinggi Bersatu itu juga memaklumkan, lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang akan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI sekiranya Hamzah disingkirkan daripada parti.

Katanya, jika  sebelum ini gerakan itu sekadar desas-desus membabitkan beberapa wakil rakyat, perkembangan terbaharu dikatakan menyaksikan Hamzah sendiri mengetuai gerakan itu, terutama selepas wujud percaturan untuk menamatkan riwayat politiknya dalam parti.

“Namun, sebarang keputusan kita perlu tunggu dan lihat apa keputusan Lembaga Disiplin terhadap Hamzah esok. Persoalannya, apa nasib parti  jika mereka membiarkan Lembaga Disiplin mengambil keputusan untuk memecat keahlian Hamzah, sekali gus peranannya sebagai orang nombor dua Bersatu tergugur?

“Tidak mustahil langkah pemecatan Hamzah hanya akan mengakibatkan nasib Bersatu menjadi semakin bercelaru. Jika tahap sukar dibentung, mungkin menempa jalan perpecahan lebih buruk,” katanya.

Terdahulu, Hamzah sememangnya dikenali sebagai ‘operator’ dalam rundingan rentas parti. Langkah Sheraton yang menyaksikan Kerajaan PH runtuh pada Februari 2020, meletakkan Hamzah antara pemain dan pencatur utamanya.

Sama juga ketika rundingan untuk melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke sembilan serta penyusunan struktur Kabinet di bawah Ismail Sabri, menyaksikan akhirnya Muhyiddin tidak dinamakan dalam sebarang jawatan Jemaah Menteri, sebaliknya Hamzah pula mengambil tempat mengisi posisi penting sebagai Menteri Dalam Negeri.

Dalam partinya, Hamzah juga seperti dinyatakan ramai ketua bahagian dan pemimpin utama Bersatu sendiri, mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan pemimpin utama di bahagian.

Ini atas peranannya menarik masuk pemimpin UMNO ke dalam Bersatu selepas BN pertama kali tewas dalam PRU pada 2018 lalu. Malah, dikatakan Hamzah kini menguasai lebih 100 bahagian Bersatu di seluruh negara.

Related Posts

PRU16: Samasuddin dicadang calon UMNO bagi kerusi Kalabakan

TAWAU – Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop dicadang sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kalabakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang. Timbalan Ketua UMNO Kalabakan, Aslan Fadli Samsul…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Akta Sewa Beli dipinda, kaedah faedah lama dimansuhkan mulai 1 Jun

KOTA KINABALU – Pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun ini bagi memastikan transaksi sewa beli di negara ini lebih telus dan adil kepada pengguna,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PRU16: Samasuddin dicadang calon UMNO bagi kerusi Kalabakan

PRU16: Samasuddin dicadang calon UMNO bagi kerusi Kalabakan

Titian besi RM150,000 beri kelegaan buat penduduk Rumah Kulih

Titian besi RM150,000 beri kelegaan buat penduduk Rumah Kulih

Akta Sewa Beli dipinda, kaedah faedah lama dimansuhkan mulai 1 Jun

Akta Sewa Beli dipinda, kaedah faedah lama dimansuhkan mulai 1 Jun

Malaysia bangkit, Terengganu masih terperangkap

Malaysia bangkit, Terengganu masih terperangkap

Cuti raya tambahan disambut gembira: Rakyat mahu pulang kampung, rehat dan eratkan silaturahim

Cuti raya tambahan disambut gembira: Rakyat mahu pulang kampung, rehat dan eratkan silaturahim

Sabah alu-alukan inisiatif Kerajaan Persekutuan bantu rakyat

Sabah alu-alukan inisiatif Kerajaan Persekutuan bantu rakyat