
KUANTAN – Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan pendekatan kolaboratif membabitkan lima pengendali rangkaian mudah alih utama negara berasaskan prinsip perkongsian infrastruktur.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu dalam usaha meningkatkan liputan, kualiti perkhidmatan serta kecekapan pelaburan dalam industri telekomunikasi.
Katanya, ia juga selari dengan dasar kerajaan iaitu `Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’ yang bertujuan memastikan liputan internet tersedia di sepanjang jalan raya, lebuh raya serta laluan pengangkutan utama negara termasuk jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Dasar ini memberi penekanan kepada usaha menangani kawasan tanpa liputan, di samping meningkatkan pengalaman pengguna melalui penyediaan rangkaian yang lebih stabil dan pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren Electric Multiple Unit dan Electric Locomotive Projek ECRL serta penyerahan surat lantikan penyedia infrastruktur rangkaian mudah alih jajaran ECRL di Stesen ECRL Kota SAS, di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Dalam konteks projek ECRL, Fahmi berkata, Maxis Berhad dilantik MRL untuk menyediakan infrastruktur rangkaian mudah alih 4G dan 5G bagi kegunaan semua pengendali rangkaian mudah alih di sepanjang jajaran dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Jalan Kastam, Selangor.
Katanya, pendekatan ini bukan saja mengoptimumkan penggunaan infrastruktur, malah membolehkan penyedia perkhidmatan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengalaman pengguna serta kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
“Kerjasama ini yang membolehkan inisiatif strategik ini dapat direalisasikan secara teratur, sekali gus memberikan impak yang tinggi kepada negara.
“Ia juga menandakan satu lagi langkah penting kerajaan dalam usaha membina masa depan digital negara, selari dengan pembangunan infrastruktur fizikal berskala nasional, khususnya melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti ECRL,” katanya.






