SEBANYAK 3,682 laman sesawang haram menyebarkan kandungan cetak rompak – filem dan muzik popular – disekat dari 2021 hingga November 2024, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, tindakan itu dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penyedia perkhidmatan Internet (IPS).
“Ini sebahagian komitmen kementerian melindungi karya kreatif tempatan daripada dieksploitasi secara haram,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.
Armizan berkata, bagi memperkukuh lagi usaha melindungi karya kreatif, KPDN memperkenalkan ‘Program Cyber Copyright Enforcement’ melibatkan kerjasama antara Kementerian, MCMC, IPS dan pemilik hak cipta.
Beliau berkata, KPDN komited menghapuskan pengedaran cetak rompak digital yang berleluasa di internet menerusi program berkenaan.
Mengenai aspek kesedaran pendaftaran harta intelek dalam konteks hak cipta, Armizan berkata, sebanyak 69,442 permohonan Pemberitahuan Secara Sukarela Hak Cipta difailkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia dari 2012 hingga tahun lepas.
Beliau berkata, ini termasuk pelbagai karya kreatif seperti sastera, seni, muzik, filem dan rakaman bunyi.




