ISKANDAR PUTERI- Susulan gangguan bekalan air dialami ribuan penduduk di beberapa kawasan di negeri ini, Kerajaan Johor hari ini mengumumkan rebat sehingga 15 peratus kepada mereka yang terlibat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, rebat itu akan melibatkan sehingga 155,074 akaun pengguna air melibatkan kategori domestik dan bukan domestik.
Katanya, selain kediaman individu, institusi lain turut terlibat adalah rumah ibadat, institusi kebajikan, premis perniagaan dan industri.
“Rundingan bersama pihak Ranhill SAJ telah diadakan bagi mencari penyelesaian yang adil dan bertanggungjawab.
“Saya sedar dan insaf bahawa bantuan ini mungkin tidak setara dengan kesusahan yang dialami oleh mereka yang terkesan. Namun, saya berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Terdahulu, isu gangguan bekalan air telah dibangkitkan oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selepas krisis bekalan air berlaku pada Rabu minggu lalu.
Isu tersebut terjadi akibat kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor yang menyebabkan operasi berkenaan terpaksa dihentikan sepenuhnya sejak petang Selasa.
Gangguan itu telah mengakibatkan 318 juta liter air sehari tidak dapat diagihkan kepada pengguna termasuk di kawasan Benut, Kukup, Pemanis, Sri Medan, Panti, Kahang, Tiram, Pulai Sebatang, Kota Iskandar, Johor Jaya, Kemelah, Sungai Balang, Bukit Naning dan Skudai.





