JOHOR BAHRU – Kira-kira 1,200 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Program MADANI Rakyat bertemakan Kesiapsiagaan Bencana Komuniti di yang diadakan di Bandar Seri Alam, di sini, Sabtu ini.
Program seawal jam 8 pagi itu menyediakan pelbagai aktiviti mengikut peringkat usia antaranya pertandingan mewarna bertema bencana untuk kanak-kanak, pertandingan reka cipta ‘Kit Bencana Komuniti’ bagi mencungkil kreativiti dan kesedaran praktikal, kuiz keselamatan dan trivia berkaitan info bencana dengan hadiah menarik.
Selain itu, turut disediakan adalah pameran daripada pelbagai pelbagai agensi keselamatan, demonstrasi secara langsung oleh agensi-agensi berkaitan, Jualan Rahmah, jualan food truck, latihan serta simulasi bencana dan aktiviti sukan hiburan rakyat.
Program kerjasama strategik antara Jabatan Komunikasi dan Komuniti (JKOM) serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap pelbagai jenis bencana serta langkah-langkah pencegahan.

Selain itu, ia bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada komuniti melalui latihan praktikal, demonstrasi dan simulasi kecemasan serta memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi keselamatan, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat.
Lokasi Johor Bahru dipilih ekoran kawasan itu yang berpotensi terdedah pelbagai risiko bencana seperti pencemaran sungai, banjir kilat, kebakaran industri, ribut serta kejadian tanah runtuh, khususnya di kawasan berpenduduk padat dan pesisir bandar.

Pada Oktober tahun lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengenal pasti 745 kawasan berisiko banjir di seluruh negeri di mana ia jumlah tertinggi pernah direkodkan dengan Johor Bahru mencatatkan 44 kawasan ‘hotspot’.
Justeru, penganjuran program ini adalah langkah tepat bagi komuniti sekitar merebut peluang meraih pelbagai maklumat sempena Program MADANI Rakyat: Kesiapsiagaan Bencana Komuniti yang diadakan di Dewan Muafakat Jalan Suria, Bandar Seri Alam, di sini, Sabtu ini pada jam 8 pagi sehingga 5 petang.









