
SANDAKAN – Naib Presiden Liberal Democratic Party (LDP) Chong Thien Ming, menyuarakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Presiden MPS yang mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap peniaga rokok haram yang beroperasi di daerah itu.
Menurut Chong, tindakan balas serta tingkah laku agresif yang ditunjukkan oleh peniaga haram terhadap anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas sah mereka adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Perbuatan seperti ini tidak ubah seperti gengsterisme. Ia langsung tidak boleh diterima dalam masyarakat bertamadun.
“Jika mereka dibenarkan menakut-nakutkan pegawai penguat kuasa hari ini, tidak mustahil mereka akan mengancam masyarakat umum pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Ahad.
Chong turut menggesa agensi penguat kuasa berkaitan supaya mengambil tindakan segera dan tegas, memandangkan sebahagian individu yang terlibat dipercayai beroperasi tanpa dokumen sah selain menjual rokok jenama haram.
“Kita tidak boleh membiarkan aktiviti haram seperti ini merebak dan secara perlahan-lahan menghakis kedaulatan undang-undang di bandar kita.
“Kawasan pasar Batu 8 merupakan hab komersial yang sibuk kira-kira lapan batu dari pusat bandar Sandakan dengan ratusan lot kedai serta sebuah sekolah berhampiran”, kongsinya.
Chong yang juga Ahli Majlis Bandaraya Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) berkata, kawasan itu juga menjadi persinggahan penting bagi orang ramai yang menuju ke ladang dan kampung sekitar, selain berdekatan kawasan perindustrian yang menempatkan banyak bengkel dan kilang.
“Dengan aliran orang ramai yang begitu besar setiap hari, keselamatan dan keamanan orang awam mesti menjadi keutamaan.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar agensi penguat kuasa melancarkan Operasi Bersepadu di seluruh Sandakan bagi membanteras semua bentuk aktiviti penjajaan haram.
“Ini bukan perkara kecil. Jika dibiarkan, ia boleh membawa kepada masalah sosial yang lebih besar.
“Ia bukan sahaja berkaitan ugutan ala gengster, malah berpotensi menyaksikan kumpulan tertentu secara beransur-ansur menguasai atau ‘menjajah’ kawasan awam melalui aktiviti haram,” ujarnya.
Chong turut berkata, pihaknya komited memastikan rakyat Sabah dilindungi dengan sewajarnya serta memastikan undang-undang dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Pada masa sama, Chong turut menggesa orang ramai supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa.
“Saya menyeru orang awam supaya melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau luar biasa di kawasan kejiranan masing-masing kepada pihak berkuasa agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.






