KUALA LUMPUR – Laporan siasatan berhubung dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan siap dalam tempoh satu hingga dua hari dan dijangka dibentangkan minggu ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan yang diketuai Peguam Negara itu tidak akan tertangguh dan akan menjadi asas kepada sebarang keputusan lanjut termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Sehubungan itu, beliau berpandangan, buat masa ini, terlalu awal untuk memutuskan cadangan mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pemilikan saham berkenaan.
“Siasatan yang diketuai Peguam Negara (Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar) akan siap minggu ini, dalam beberapa hari. Jadi, kita tengok dulu apakah kemunasabahan rasional untuk melanjutkan dan dalam bidang apa yang diperlu diteliti.
“Jadi, saya tidak menerima atau menolak (penubuhan RCI). Biarlah kita ikut prosesnya, pertama mendapat dulu laporan daripada Peguam Negara yang tidak akan tertangguh.
“Ini kerana Peguam Negara memaklumkan kepada saya, laporan akan disediakan dalam tempoh satu dua hari ini,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH Klang
mengenai tindakan khusus dan terperinci yang boleh dijangka daripada RCI berhubung isu mafia korporat yang didakwa membabitkan Azam, termasuk skop siasatan, kuasa perundangan dan kaedah siasatan, selain bila RCI itu akan memulakan siasatan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan tidak menutup ruang siasatan terhadap isu pemilikan saham mahupun dakwaan terbaharu berkaitan rangkaian mafia korporat seperti dibangkitkan.
“Kita jangan buruk sangka. Biar siasatan dapat fakta. Kedua-duanya itu tidak ditutup,” katanya.
Menurut beliau, selepas laporan diterima, kerajaan akan menilai sama ada terdapat rasional untuk melanjutkan siasatan atau memperluaskan skop termasuk melalui RCI.
“Kalau ada rasional untuk dilanjutkan dan dalam bidang apa yang perlu diteliti, itu kita akan putuskan selepas melihat laporan,” katanya.




