Langkah progresif, Elaun Pasca Cuti Bersalin sokong kelangsungan kerjaya wanita

KUALA TERENGGANU – Inisiatif pemberian Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) yang diperkenalkan kerajaan disifatkan sebagai satu langkah signifikan dan progresif dalam memperkukuh sokongan terhadap wanita bekerjaya, khususnya dalam tempoh kritikal selepas melahirkan anak.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr. Hartinie Abd Aziz berkata, dari sudut perundangan, wanita pekerja di Malaysia sememangnya telah diberikan hak cuti bersalin sebagai perlindungan asas.

Namun jelas beliau, cabaran sebenar sering timbul selepas tamat tempoh cuti tersebut apabila wanita perlu kembali bekerja dalam keadaan masih menyesuaikan diri dari segi fizikal, emosi serta tanggungjawab penjagaan anak.

“Dalam konteks ini, elaun tambahan ini berfungsi sebagai satu bentuk sokongan sosial yang melangkaui perlindungan minimum undang-undang. Ia memberi ruang kepada wanita untuk kembali bekerja dengan lebih tenang tanpa tekanan kewangan yang mendesak,” katanya ketika ditemui.

Menurut beliau, inisiatif tersebut juga penting dari perspektif hak wanita kerana ia mengiktiraf realiti bahawa tanggungjawab penjagaan anak masih banyak dipikul oleh golongan wanita.

“Tanpa sokongan mencukupi, keadaan ini boleh menjejaskan penyertaan mereka dalam tenaga kerja. Maka, langkah ini dilihat sebagai usaha memastikan wanita tidak terpaksa memilih antara kerjaya dan keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hartinie berpandangan bahawa walaupun langkah tersebut positif dan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan wanita bekerjaya, namun ia masih belum mencukupi untuk menangani keseluruhan cabaran yang dihadapi.

“Isu wanita bukan hanya tertumpu kepada tempoh selepas bersalin, tetapi melibatkan cabaran struktur yang lebih luas seperti kos penjagaan anak, kekurangan fleksibiliti di tempat kerja serta norma sosial yang masih tidak seimbang.

“Elaun ini merupakan intervensi baik dalam jangka pendek, namun untuk impak jangka panjang, ia perlu disokong dengan ekosistem lebih menyeluruh termasuk dasar kerja fleksibel, kemudahan penjagaan kanak-kanak mampu milik serta perlindungan sosial yang inklusif,” katanya.

Beliau turut menyifatkan inisiatif tersebut sebagai permulaan yang baik, namun memerlukan pengukuhan dari segi pelaksanaan dan liputan agar manfaatnya dapat dirasai secara lebih meluas.

Mengulas lanjut, beliau juga berharap komitmen kerajaan dalam memperkasakan wanita bekerjaya dapat diteruskan secara konsisten dan diperluaskan kepada pembinaan ekosistem sokongan yang lebih komprehensif.

“Perlindungan sosial juga perlu diperluaskan supaya merangkumi semua kategori wanita termasuk mereka yang bekerja sendiri atau dalam ekonomi gig agar tiada golongan tercicir.

“Matlamat akhirnya bukan sekadar membantu wanita mengimbangi kerjaya dan keluarga, tetapi memastikan mereka terus berkembang, menyumbang kepada ekonomi negara serta menikmati kesejahteraan hidup yang seimbang dan bermaruah,” katanya.

Related Posts

Rumah api Tanjung Lobang berpotensi diperkasa sebagai tapak warisan sejarah Miri

MIRI – Tanjung Lobang Lighthouse berpotensi diperkasakan sebagai salah satu tapak warisan sejarah penting di bandar raya Miri susulan lawatan tapak yang diadakan baru-baru ini bagi meninjau usaha penambahbaikan kawasan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pemerkasaan pendidikan dan warisan Bidayuh harus dipelihara

KUCHING – Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn menegaskan peranan penting Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dalam memelihara warisan masyarakat Bidayuh, memperkukuh perpaduan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rumah api Tanjung Lobang berpotensi diperkasa sebagai tapak warisan sejarah Miri

Rumah api Tanjung Lobang berpotensi diperkasa sebagai tapak warisan sejarah Miri

Pemerkasaan pendidikan dan warisan Bidayuh harus dipelihara

Pemerkasaan pendidikan dan warisan Bidayuh harus dipelihara

Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

Ceelecia dinobat Unduk Ngadau peringkat daerah Sandakan 2026

Ceelecia dinobat Unduk Ngadau peringkat daerah Sandakan 2026

Pesta Kaamatan medan erat hubungan politik tanpa mengira parti – James

Pesta Kaamatan medan erat hubungan politik tanpa mengira parti – James

PM imbau kenangan bersama SMK Banggi

PM imbau kenangan bersama SMK Banggi