PUTRAJAYA – Tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mencetuskan krisis persepsi negatif politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Hasil tinjauan IDE Research Centre (IDERC), ia ‘dilemahkan secara kritikal’ apabila wujud pengakuan kepimpinan BN Negeri Sembilan hanya mengetahui ‘lewat’ krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri
Menurutnya, kira-kira 62 peratus sentimen awam dilaporkan bersifat negatif terhadap BN selepas melakukan tindakan yang mencetuskan krisis pentadbiran di Negeri Sembilan.
“Daripada jumlah itu, TikTok mencatatkan sentimen negatif tertinggi iaitu 70 peratus, diikuti platform X sebanyak 65 peratus dan Facebook 50 peratus berdasarkan analisis merentasi tiga platform utama.
“Faktor penyumbang terbesar kepada sentimen negatif ini ialah pengakuan BN yang lambat bertindak melalui undian 88 peratus, diikuti kejelasan matematik politik yang menunjukkan BN+PN (Perikatan Nasional) boleh membentuk kerajaan baharu (82 peratus) dan persepsi tindakan yang reaktif berbanding berprinsip (78 peratus).
“Paling membimbangkan, ucapan tahniah daripada Pas menyumbang kira-kira 75 peratus kepada pembentukan naratif negatif kerana ia secara organik menghubungkan tindakan BN dengan agenda ‘perpaduan ummah’ PN sebuah kerangka yang tidak mampu dinafikan BN sendiri dengan berkesan dalam tempoh 24 jam pertama,” katanya menerusi kenyataan, pada Isnin.
Dalam pada itu, IDERC menyatakan, tindakan BN itu dilemahkan secara kritikal oleh pengakuan gabungan itu bahawa kepimpinan parti ‘hanya mengetahui krisis apabila ia mencapai tahap kritikal dan menjadi perdebatan umum’ sebuah kenyataan yang secara langsung menghakis naratif ‘tindakan berprinsip’ yang cuba dibinanya.
“Dari sudut matematik politik, ketiadaan sokongan BN menyebabkan PH yang hanya memegang 17 kerusi gagal mencapai ambang majoriti 19 kerusi untuk meneruskan kerajaan, sementara lima ADUN PN yang segera menawarkan kerjasama kepada BN disertai ucapan tahniah Ketua Penerangan Pas mengenai ‘perpaduan ummah’ menjadikan kalkulasi kuasa di sebalik tindakan ini terlalu ketara untuk disembunyikan di ruang awam.
“Dalam ekosistem media sosial Malaysia, naratif negatif yang ringkas dan emosional seperti ‘BN tikam belakang’ atau ‘politik kuasa bukan prinsip’ tersebar lebih pantas dan lebih jauh berbanding hujah teknikal perlembagaan yang cuba dibawa oleh BN.
“Jadi tiada intervensi naratif yang berkesan, unjuran menunjukkan sokongan terhadap BN akan jatuh secara berterusan daripada 40 peratus kepada sekitar 18 peratus dalam tempoh 90 hari dengan implikasi jangka panjang yang langsung kepada kedudukan BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya.
Terdahulu, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN BN Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin, sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga ADUN BN, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan yang sewajarnya dihormati dan dipertahankan tanpa campur tangan politik.
Sebelum ini, krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak mengisytiharkan penurunan Tuanku Muhriz di Balai Undang Luak Sungai Ujong.
Susulan itu, Aminuddin dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menasihatkan Luak Sungai Ujong agar menerima pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra luak berkenaan.
Berikutan krisis itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung selama empat hari bermula Jumaat lalu terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan, walaupun istiadat pembukaan sidang berkenaan telah disempurnakan Tuanku Muhriz pada Khamis lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi membabitkan DAP (11) PKR (5) dan Amanah (1), manakala UMNO/ BN menyumbang 14 kerusi dan Pas (3) serta Bersatu (2).




