
TIMBALAN Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid percaya peningkatan kutipan zakat Pulau Pinang bukti keyakinan rakyat terhadap pelan penstrukturan dan perubahan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, pelan yang dimulakan pada 1 Mac 2024 melibatkan penstrukturan organisasi serta perubahan terhadap prosedur pentadbiran dan kewangan bagi menambah kecekapan pengurusan semaksimum mungkin melibatkan Zakat Pulau Pinang (ZPP).
“Ini juga dapat menyangkal keraguan yang cuba menimbulkan persepsi negatif bahawa kutipan zakat yang diuruskan ZPP akan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kutipan pada tahun 2024 adalah sebanyak RM169,779,622.08 dengan peningkatan sebanyak lebih RM10 juta berbanding kutipan zakat pada tahun 2023.
“Ini secara tak langsung membuktikan keyakinan umat Islam negeri Pulau Pinang meningkat dan pelan penstrukturan yang dilakukan oleh ZPP memberi kesan yang positif,” ujar ADUN Batu Maung itu.
Mohamad juga menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh umat Islam negeri Pulau Pinang yang telah membayar zakat pada tahun 2024.
“Semoga kerjasama erat antara semua pemegang taruh akan memberikan impak positif yang besar dakam meneruskan misi Agenda Pembangunan Agama Islam 2023 selari dengan visi Penang 2030,” ujarnya.