KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memastikan ekosistem francais negara kekal seimbang antara pemain tempatan dan jenama antarabangsa.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri R Ramanan berkata, ini dilakukan melalui pelaksanaan Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030), selain menyediakan pelbagai bentuk pembiayaan dan latihan kepada usahawan tempatan.
Setakat ini terdapat 68 francais asing dalam sektor makanan dan minuman berdaftar di bawah sistem Malaysia Franchise Express (MyFaX 2.0), manakala francais tempatan masih menguasai pasaran dengan 52.1 peratus.
Beliau menjelaskan, kehadiran francais luar negara turut membawa pelbagai manfaat termasuk peningkatan pelaburan, pengukuhan rantaian bekalan, serta pemindahan pengetahuan dan teknologi kepada pemain industri tempatan.
“KUSKOP yakin penyertaan francais luar negara dalam pasaran tempatan akan memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi, antaranya merancakkan ekonomi domestik melalui peningkatan pelaburan dan aktiviti rantaian bekalan bahan mentah.
“Ia juga menambah peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, serta mewujudkan pemindahan pengetahuan dan teknologi kepada usahawan tempatan dan pemain industri,” katanya pada Rabu, lapor Bernama.
Beliau menjawab soalan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol mengenai penilaian kesan ekonomi dan sosial yang dijalankan kementerian sebelum meluluskan kemasukan francais asing baharu, khususnya dalam kategori makanan snek dan makanan segera yang mempunyai banyak alternatif tempatan.
Ramanan berkata, kerajaan menyediakan pelbagai skim pembiayaan bagi memperkukuh kedudukan francais tempatan.
Antaranya termasuk Skim Pembiayaan Franchisor yang memanfaatkan 122 syarikat dengan pembiayaan hampir RM40 juta, manakala 945 syarikat di bawah Skim Pembiayaan Francaisi menerima hampir RM216 juta.
Selain itu, KUSKOP turut menyediakan program bantuan kepada usahawan veteran dan pesara untuk memperoleh perkakasan perniagaan, di samping menyediakan latihan percuma atau bersubsidi serta khidmat rundingan pembangunan perniagaan.




