KUANTAN – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menghargai usaha Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (Kopenas) menjayakan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030 dengan mewujudkan platform dan aplikasi digital koperasi.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, ini selaras dengan dasar dibangunkan kementerian iaitu Dasar Koperasi Malaysia (DAKOM) 2030.
“DigiKOP ini bertujuan meningkatkan keupayaan koperasi menjalankan perniagaan berasaskan teknologi.
“Saya hargai inisiatif Kopenas yang bekerjasama dengan rakan strategik mereka iaitu VX Technica bagi memperkenalkan platform digital koperasi melalui aplikasi School Transformation E-Platforms (STEP) dan aplikasi digital Kopenas.
“Kopenas bekerjasama dengan 684 sekolah di seluruh Semenanjung Malaysia bagi membantu memodenkan sistem pengurusan inventori, transaksi dan pelaporan dengan lebih cekap dan selamat melalui platform STEP.
“Selain itu aplikasi Kopenas menyediakan platform perkongsian maklumat koperasi kepada ahli-ahlinya.
“Saya berharap usaha Kopenas ini akan menjadi inspirasi dan motivasi kepada koperasi lain di seluruh negara supaya turut sama menjadi pelaksana dasar-dasar dan pelan-pelan tindakan kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Sambutan 40 Tahun Kopenas , di sini, hari ini.
Ewon berkata, kementeriannya akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk pembangunan gerakan koperasi termasuk membuat pindaan Akta Koperasi sedia ada yang berusia lebih 30 tahun.







