
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang menjalankan proses siasatan dalaman berhubung insiden seorang pelajar terjatuh dari tingkat tiga bangunan di sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.
Jelasnya, pada masa sama, Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah terlibat kini ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.
“Saya mengambil perhatian kemalangan yang membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini.
“Pelajar berkenaan sedang mendapat rawatan di hospital. Laporan kepada polis sudah dibuat supaya siasatan lanjut boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Fadhlina berkata, beliau akan memastikan siasatan dijalankan secara terperinci semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini.
“Saya mendoakan supaya anakanda diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya.





